BERITA UTAMA

35,824 mohon BINGKAS sejak syarat dilonggar 5 Julai

18 Jul 2024, 4:06 AM
35,824 mohon BINGKAS sejak syarat dilonggar 5 Julai
35,824 mohon BINGKAS sejak syarat dilonggar 5 Julai

SHAH ALAM, 18 JULAI: Sebanyak 35,824 permohonan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) diterima negeri sejak permohonan baharu dibuka bermula 5 Julai, kata EXCO kebajikan.

Anfaal Saari memaklumkan semua permohonan itu akan diproses dalam tempoh antara dua minggu hingga sebulan oleh pusat khidmat masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Menawarkan bantuan RM300 sebulan, jelasnya, inisiatif itu ditambah baik antaranya pendapatan bulanan isi rumah kepada RM5,000 dan ke bawah dengan peruntukan sebanyak RM108 juta.

[caption id="attachment_651641" align="alignright" width="417"] EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari bercakap kepada media selepas Majlis Penyampaian Biasiswa Wanita Berdaya Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 10 Julai 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

"Syarat permohonan ditambah baik kerana kita mahu memperluas selain melihat ada keperluan membantu kelompok pertengahan antara B40 dan M40," katanya menerusi program Hai Selangor hari ini.

Beliau menambah pembaharuan syarat kelayakan itu tidak menjejaskan golongan berpendapatan rendah berikutan PKM akan menyaring permohonan dan mengutamakan mereka yang benar-benar layak.

Dalam pada itu, Anfaal menjelaskan Kerajaan Selangor turut mengubah kuota pemberian inisiatif BINGKAS mengikut keperluan dan jumlah penduduk di DUN masing-masing.

"Ada sesetengah DUN yang masih mempunyai baki kuota dan kita ubahnya mengikut keperluan terutama kawasan yang pengundinya ramai seperti Pelabuhan Klang, Meru dan Batu Tiga.

"Kita agih mengikut keperluan DUN dan sekiranya pengundi mereka tidak ramai, kita kurangkan kuota. Ini bagi membolehkan peruntukan yang disediakan digunakan sepenuhnya," katanya.

Pada 5 Julai, Anfaal mengumumkan syarat permohonan BINGKAS dilonggarkan kepada isi rumah bawah RM5,000 berbanding RM3,000 sebelum ini bagi memastikan lebih ramai menerima manfaat.

Menurutnya, bantuan RM300 sebulan selama 24 bulan boleh dimohon sehingga 15 Ogos menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) atau laman sesawang www.bingkasselangor.com.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619