AGENDA

Kerajaan sedia pinda Akta Antilompat Parti, baiki kelompangan

12 Jul 2024, 2:45 PM
Kerajaan sedia pinda Akta Antilompat Parti, baiki kelompangan

PUTRAJAYA, 12 JULAI: Kerajaan terbuka untuk mengadakan perbincangan bagi membaiki kelompangan yang wujud dalam Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 (Akta A1663) atau Akta Antilompat Parti, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Pakatan Harapan pada 2022 pernah mengusulkan supaya pindaan terhadap akta itu dibuat, namun ditolak kerajaan pada masa itu.

"Dahulu, kita cadang supaya mana-mana yang ditolak oleh parti, perlu ditolak (mengosongkan kerusi) tetapi tidak dipersetujui kerajaan ketika itu.

"Jadi, bagi saya kalau nak pinda boleh, kita bincang supaya sesiapa sahaja (tidak terkecuali jika lompat parti)," kata beliau kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Surau An-Najah di sini hari ini.

Anwar berkata pada masa itu, PH mengusulkan supaya Ahli Parlimen yang ditolak parti masing-masing, secara automatik kehilangan kerusi mereka, namun Bersatu menolak keras usul berkenaan.

"Sampai kita bertolak ansur dan jadi undang-undang sekarang. Jadi, kalau nak pinda kita boleh bincang," kata Anwar.

Pada 20 Jun lepas, Bersatu mengemukakan notis kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul meminta supaya enam kerusi Parlimen wakil rakyatnya yang sebelum ini menyokong Perdana Menteri dikosongkan.

Notis itu dikemukakan berdasarkan peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan, iaitu seseorang ahli Dewan Rakyat hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan dan kerusinya menjadi kosong apabila tidak lagi menjadi anggota parti politik.

Bagaimanapun, Johari semalam menegaskan keputusan berhubung status enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan adalah kekal, menyebabkan pembangkang keluar Dewan beramai-ramai kerana tidak berpuas hati.

Johari berkata pihaknya telah membuat kajian sebelum memutuskan perkara terbabit dan membaca semua kenyataan mengenai Perkara 49 Perlembagaan Persekutuan.

Enam Ahli Parlimen berkenaan ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619