AGENDA

Pakar: Susun semula subsidi untuk perbaiki ekonomi, disambut baik pasaran kewangan, agensi penarafan

12 Jul 2024, 8:16 AM
Pakar: Susun semula subsidi untuk perbaiki ekonomi, disambut baik pasaran kewangan, agensi penarafan

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 12 JULAI: Tindakan berani yang diambil oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memulihkan ekonomi Malaysia walaupun melibatkan langkah-langkah yang tidak popular, tetapi penting untuk kemajuan negara, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Beliau berkata langkah melaksanakan pembaharuan subsidi diesel dan kadar cukai perkhidmatan yang lebih tinggi akan membolehkan Malaysia menghadapi sebarang cabaran ekonomi yang mungkin timbul pada masa hadapan.

“Apa yang lebih penting, ia adalah untuk membolehkan lebih ruang fiskal bagi kerajaan untuk berbelanja lebih dalam bidang yang boleh membawa lebih produktiviti untuk negara, terutamanya dalam bidang yang berkaitan dengan pendidikan, penjagaan kesihatan dan infrastruktur,” katanya dalam program televisyen Bernama World hari ini.

Mohd Afzanizam menyatakan langkah-langkah pembaharuan itu telah mendapat sambutan yang baik daripada pelbagai pihak berkepentingan, terutamanya daripada pasaran kewangan, yang diterjemahkan kepada prestasi yang lebih baik bagi ringgit dan pasaran ekuiti.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata Malaysia telah berdepan dengan isu defisit belanjawan selama beberapa dekad dan defisit tersebut telah wujud tanpa mengira kitaran ekonomi.

“Secara idealnya, belanjawan seimbang seharusnya dicapai apabila ekonomi telah pulih sepenuhnya daripada sebarang bentuk kejutan, tetapi saya fikir ia lebih daripada itu, apa yang kita lihat adalah defisit tersebut berterusan dan telah menjadi struktur.

“Jadi saya rasa pentadbiran semasa ini sedang membuat langkah berani untuk memastikan kedudukan fiskal kita, terutamanya berkaitan dengan defisit dan tahap hutang, yang akan dikembalikan ke tahap yang lebih mampan,” katanya lagi.

Mohd Afzanizam berpendapat strategi pentadbiran semasa juga akan menarik minat pelabur asing, terutamanya kerana kedudukan kewangan yang lebih kukuh akan menghasilkan skor kredit yang lebih tinggi.

“Defisit fiskal atau hutang kerajaan ini sangat berkait rapat dengan risiko kredit dan risiko kredit sentiasa dinilai oleh agensi penarafan kredit seperti S&P dan Fitch Ratings.

“Agensi penarafan telah memberi ulasan positif terhadap pasaran Malaysia dan ini akan menjadi fokus jualan bagi pasaran Malaysia kita, yang akhirnya akan menarik lebih banyak dana asing ke Malaysia dan mungkin akan menyumbang kepada peningkatan nilai ringgit,” tambahnya.

Bagaimanapun, Mohd Afzanizam mengakui bahawa langkah-langkah yang tidak popular ini memerlukan komunikasi yang lebih baik dan kerajaan perlu jelas dalam menyampaikan mesej supaya rakyat dapat memahami objektif tindakan tersebut.

“Orang ramai perlu tahu apakah hasil yang akan mereka peroleh pada masa akan datang,” katanya.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619