AGENDA

Nelayan harap subsidi bahan api, bantuan sara hidup diterus

28 Sep 2024, 3:30 AM
Nelayan harap subsidi bahan api, bantuan sara hidup diterus

KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) berharap agar Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Oktober ini, akan meneruskan pemberian subsidi petrol serta diesel dan bantuan sara hidup kepada komuniti nelayan tanpa mengira kelas.

Pengerusi Lembaga Pengarah Nekmat Abdul Hamid Bahari berkata permintaan itu, bagi memastikan komuniti nelayan dapat menampung kos operasi harian dan menggalakkan hasil tempatan yang sekali gus dapat meningkatkan lagi taraf hidup mereka.

“Nekmat mempunyai hampir 100,000 nelayan dan hasrat kita adalah supaya kerajaan dapat kekalkan pemberian petrol dan diesel bersubsidi kepada nelayan termasuk di Sabah dan Sarawak, serta memperluaskan juga kepada nelayan yang tidak menerima manfaat itu sebelum ini.

“Tanpa subsidi minyak ini, sukar untuk nelayan turun ke laut khususnya bagi nelayan kelas zon C2 (Perikanan Tangkapan Laut Dalam). Ada dalam kalangan mereka boleh dikatakan tidak dapat turun ke laut kerana tidak dapat tampung kos yang tinggi, sebab harga ikan yang mereka jual sama sahaja dengan nelayan zon A, B dan C yang ketika ini menerima subsidi petrol dan diesel,” katanya kepada Bernama.

Abdul Hamid berkata dengan meneruskan program subsidi petrol dan diesel kepada nelayan, ia juga dapat menstabilkan harga ikan, merancakkan pertumbuhan ekonomi negara sekali gus menjamin kesejahteraan rakyat.

Abdul Hamid berkata selain itu, beliau juga berharap bantuan sara hidup nelayan sebanyak RM300 setiap bulan, turut diperluaskan kepada pemilik bot bagi zon B dan C.

“Buat masa ini pemilik bot dan pekerja bagi zon A semua mendapat bantuan sara hidup ini, tetapi bagi zon B dan C, hanya pekerja sahaja yang menikmati bantuan ini,” katanya.

Belanjawan 2025 akan dibentangkan di Parlimen pada 18 Okt.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619