AGENDA

Penyasaran subsidi diesel antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

10 Jul 2024, 1:00 AM
Penyasaran subsidi diesel antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 10 JULAI: Penyasaran subsidi diesel dan kepengerusian ASEAN antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan melalui laman rasmi Parlimen, soalan berkaitan mekanisme pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi dibangkitkan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada sesi soal jawab.

Hamzah ingin tahu jaminan kerajaan bahawa penyasaran subsidi itu tidak memberi kesan kepada rantaian ekonomi secara keseluruhan yang boleh mendorong melonjakkan lagi harga barang dengan kesannya kepada rakyat terbanyak terutama golongan M40 dan B40.

Dalam sesi sama, soalan mengenai persediaan Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun depan dan perkara utama yang ingin dicapai dalam tempoh kepengerusian itu diajukan Datuk Seri Amirudin Shari (HARAPAN-Gombak) kepada Menteri Luar.

Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) pula meminta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan statistik kes penipuan umrah dan haji dari 2019 hingga tahun ini serta tindakan yang dikenakan kepada agensi pengendali umrah yang menipu jemaah.

Selain itu, pertanyaan mengenai peranan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam membantu negara bagi soal keselamatan dan keterjaminan makanan, khususnya dari sudut aplikasi teknologi dan inovasi dikemukakan Lee Chean Chung (HARAPAN-Petaling Jaya).

Zahari Kechik (PN-Jeli) memohon Menteri Pertahanan menjawab soalan berhubung status terkini pelaksanaan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Usai sesi itu, persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan menyambung perbahasan bagi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024.

Turut tersenarai dalam aturan mesyuarat hari ini ialah bacaan kali pertama Rang Undang-Undang Perlindungan Data Peribadi (Pindaan) 2024.

Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 berlangsung selama 15 hari hingga 18 Julai ini.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619