AGENDA

Tipu jual beli tanah, polis cari tiga lelaki termasuk dua beradik

2 Jul 2024, 9:18 AM
Tipu jual beli tanah, polis cari tiga lelaki termasuk dua beradik

MACHANG, 2 JULAI: Polis Kelantan sedang mengesan tiga individu termasuk dua adik-beradik, bagi membantu siasatan berkaitan kes penipuan urusan pembelian sebidang lot tanah dianggarkan bernilai RM320,000 di Kota Bharu, awal Januari tahun lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata ketiga-tiga mereka dikenali sebagai Mohamed Zahiduddin Mohamed, 43, Luqman Nurhakim Perma Suria, 36, dan Mohamad Shukkram Perma Suria berusia 28 tahun.

Beliau berkata pada Januari tahun lepas, seorang pengusaha batik wanita berusia 53 tahun telah membuat urusan pembelian sebidang lot tanah berkeluasan 0.53 hektar di Mukim Guntong, di sini, bagi pihak suaminya.

“Mangsa telah membuat transaksi sebanyak RM320,000 kepada penjual, di sebuah bank di Kubang Kerian dan disaksikan suaminya.

“Selepas pembayaran dibuat kepada penjual tanah, penama menyerahkan satu geran asal bagi urusan hartanah beserta satu salinan borang 14A yang tertera namanya dan turut menandatangani surat akuan sumpah,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata pada 3 Ogos tahun lepas, wanita berkenaan ke Pejabat Tanah Kota Bharu bagi urusan pindah milik tanah kepada nama suaminya, dan dia dimaklumkan tanah itu sudah dipindah milik kepada nama orang lain.

Susulan itu, satu laporan polis dibuat oleh mangsa di Balai Polis Kubang Kerian pada tarikh yang sama, selepas dia merasakan dirinya terpedaya berikutan kerugian besar dialaminya.

“Oleh itu, saya meminta mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat, Insp Siti Muslihah Mohamed di talian 010-9012988,” katanya.

Sementara itu, Muhamad Zaki berkata proses untuk menahan bekas personaliti televisyen Norjuma Habib Mohamed yang hadir ke Kelantan semalam untuk tujuan perniagaan, diserahkan kepada pihak mahkamah untuk menentukan penahanannya.

“Sekiranya ada permintaan untuk polis menahan usahawan berkenaan, kami perlu melalui proses mahkamah sebelum bertindak,” katanya.

Pada 27 Jun, empat Mahkamah Majistret mengeluarkan waran tangkap terhadap Norjuma kerana gagal hadir prosiding sebutan semula tiga pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas tiga individu dan dua pertuduhan melakukan khianat yang dihadapinya antara 2017 dan 2023.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619