PM: MAHB tidak pernah dijual kepada syarikat asing

25 Jun 2024, 7:03 AM
PM: MAHB tidak pernah dijual kepada syarikat asing

SHAH ALAM, 25 JUN: Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) tidak pernah dijual kepada syarikat asing dan pemilikannya kekal milik kerajaan, tegas Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata soal penjualan syarikat itu tidak berbangkit malah pegangan saham sedia ada oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Dengan perubahan ini pemilikan Khazanah dan KWSP meningkat daripada 41 peratus kepada 70 peratus. Ini berbeza dengan naratif di luar. Tidak ada penjualan MAHB kepada syarikat asing.

“Syarikat asing memiliki sekitar 30 peratus iaitu Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan Global Infrastructure Partners (GIP),” katanya.

Beliau menjawab soalan Dato’ Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai keputusan konsortium syarikat pelaburan berkaitan kerajaan terhadap penjualan MAHB kepada Global Infrastructure Partners (GIP) di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Anwar, rundingan KWSP dengan GIP sudah bermula sejak 2012 melalui kerjasama Lapangan Terbang Sydney Australia dan Lapangan Terbang Gatwick United Kingdom.

Katanya, soal keselamatan tidak berbangkit kerana syarikat berkenaan masih milik kerajaan.

“Keselamatan tanggungjawab kerajaan, pengerusi syarikat dan ketua pegawai eksekutif (CEO) masih rakyat Malaysia, itu syarat-syarat kelayakan. Pengerusi syaratnya mesti rakyat Malaysia, CEO mesti rakyat Malaysia, keselamatan keseluruhannya tanggungjawab kerajaan Malaysia,” katanya.

Pada 15 Mei lalu, Gateway Development Alliance (GDA) dan pemegang sahamnya mengumumkan tawaran sukarela prasyarat untuk mengambil alih semua saham dalam MAHB yang belum dimiliki konsortium, pada harga tawaran sebanyak RM11 sesaham yang bersamaan dengan RM18.4 bilion.

Konsortium itu diterajui dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan Malaysia - Khazanah melalui anak syarikat milik penuhnya, UEM Group Bhd dan KWSP.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619