AGENDA

KPDN teliti permohonan tambah jenis kenderaan dapat subsidi diesel

12 Jun 2024, 3:00 AM
KPDN teliti permohonan tambah jenis kenderaan dapat subsidi diesel

PUTRAJAYA, 12 JUN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang meneliti asas permohonan dan rayuan beberapa pihak berhubung penambahbaikan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata susulan daripada pelaksanaan penyasaran subsidi diesel, ada pihak telah mengemukakan permohonan terus kepada KPDN bagi mempertimbangkan beberapa tambahan jenis kenderaan pengangkutan barangan dalam senarai layak menikmati subsidi diesel di bawah SKDS 2.0.

“Syor lain yang dikemukakan ialah meningkatkan kuota asas sedia ada di bawah SKDS 1.0 bagi jenis kenderaan pengangkutan awam seperti bas sekolah dan bas ekspres.

“KPDN sedang meneliti semua ini dan ia akan diangkat segera untuk pertimbangan Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Diesel yang dianggotai oleh KPDN, Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Pengangkutan Awam Darat dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Jawatankuasa Rayuan (di bawah Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Diesel) seterusnya akan mengemukakan syor bagi semua rayuan berkenaan untuk pertimbangan dan keputusan Jemaah Menteri.

Harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter bermula 10 Jun iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik.

SKDS merupakan platform khusus untuk kenderaan awam terpilih dan pengangkutan barangan untuk terus menerima subsidi diesel menerusi fleet card.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619