ad
AGENDA

Hampir 130,000 pesawah terima insentif bajak, tuai RM210 per hektar

11 Jun 2024, 7:15 AM
Hampir 130,000 pesawah terima insentif bajak, tuai RM210 per hektar

PUTRAJAYA, 11 JUN: Hampir 130,000 pesawah di Semenanjung Malaysia akan menerima bantuan tunai berjumlah RM210 per hektar per musim menerusi kenaikan kadar insentif pembajakan serta pengenalan insentif penuaian.

Menurut kenyataan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di sini hari ini, pada 27 Mei lepas kementerian telah menaikkan kadar insentif pembajakan dan memperkenalkan insentif penuaian.

"KPKM mengambil langkah menambah baik kadar sedia ada bagi insentif pembajakan iaitu daripada RM100 per hektar per musim kepada RM160 manakala insentif penuaian pula pada kadar RM50 per hektar per musim," menurut kenyataan itu.

Pada 27 Mei lepas juga KPKM memaklumkan bahawa subsidi diesel kepada nelayan dikekalkan.

Kementerian Kewangan (MOF) sebelum ini mengumumkan pelaksanaan Program Bantuan Subsidi MADANI (BUDI MADANI) termasuk kategori BUDI Agri-Komoditi kepada petani, penternak dan pengusaha akuakultur yang berkelayakan.

Harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 bagi setiap liter bermula semalam (10 Jun) iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.