AGENDA

KPKM tekad bangunkan industri jagung bijian, kurang kebergantungan import

3 Mei 2025, 8:15 AM
KPKM tekad bangunkan industri jagung bijian, kurang kebergantungan import

ARAU, 3 MEI: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) komited melaksanakan program pembangunan industri jagung bijian secara intensif di negara ini, dalam usaha mengurangkan kebergantungan import sekali gus menstabilkan harga makanan ternakan dalam negara.

Ketua Setiausaha KPKM Datuk Seri Isham Ishak berkata antara lokasi yang menunjukkan kejayaan pelaksanaan projek tanaman jagung bijian ialah Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) dekat Padang Besar, yang diusahakan Green World Genetics Sdn Bhd (GWG) dan FGV Chuping Agro Valley.

“Ini merupakan satu tempat yang berjaya, dan kita akan gunakan SOP (prosedur operasi standard) yang sama ke lokasi lain...jagung bijian ini penting kerana digunakan untuk penternakan ayam dan ruminan seperti lembu,” katanya selepas melawat ladang dan projek tumpuan di Perlis di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata kementeriannya turut melihat kepada potensi golongan belia dalam memacu industri pertanian, khususnya tanaman jagung bijian itu menerusi program latihan dan kerjasama dengan syarikat swasta.

“GWG misalnya melatih ramai anak muda dan kita dapati kebolehpasaran mereka sangat tinggi. Latihan yang diberi bukan sekadar menanam, tetapi merangkumi pengurusan ladang, logistik dan pasaran. Ini penting untuk menjadikan pertanian sebagai kerjaya berdaya saing,” katanya.

Isham turut menggalakkan lebih ramai lepasan sekolah mempertimbangkan bidang pertanian sebagai kerjaya masa depan.

“Sistem sokongan memang sudah ada. Cuma perlukan kesanggupan mereka untuk menyertai sektor ini. Ramai petani kita yang berjaya, dan ini satu bukti bahawa pertanian boleh jadi satu kerjaya yang stabil,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619