AGENDA

PM: Penyasaran subsidi diesel perlu demi selamatkan negara

10 Jun 2024, 2:30 AM
PM: Penyasaran subsidi diesel perlu demi selamatkan negara

PUTRAJAYA, 10 JUN: Langkah kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel adalah perlu untuk menyelamatkan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata tindakan perlu diambil walaupun kerajaan sedar ia merupakan langkah yang tidak popular.

“Siapa mahu penyasaran subsidi ini? Kena tahu juga apapun kita lakukan kita akan dihentam habis-habisan dengan segala fitnah dan penipuan.

“Padahal kita beritahu penyasaran subsidi ini semua perdana menteri sebelum itu telah setuju cuma tidak ada tekad politik melaksanakan kerana risikonya ada, tapi untuk selamatkan negara, kita tidak ada pilihan,” katanya.

Semalam kerajaan mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 bagi setiap liter iaitu harga pasaran tanpa subsidi bermula 12.01 tengah malam tadi.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika mengumumkan perkara itu berkata ia adalah harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Automatic Pricing Mechanism.

Beliau berkata dengan penetapan harga dan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar, ia dapat memberikan penjimatan RM4 bilion setahun, di samping dapat mengukuhkan kedudukan kewangan negara untuk jangka masa panjang.

Bagaimanapun penyasaran itu tidak melibatkan pengguna di Sabah dan Sarawak.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619