AGENDA

Khidmat trem percuma tanpa landasan di Putrajaya sehingga Julai

22 Mei 2024, 4:52 AM
Khidmat trem percuma tanpa landasan di Putrajaya sehingga Julai

PUTRAJAYA, 22 MEI: Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) sedang melaksanakan tempoh percubaan operasi Kenderaan Transit Aliran Automatik (ART) atau trem tanpa landasan, bermula 13 Mei hingga 31 Julai ini.

Projek rintis di Putrajaya itu merupakan usaha PPj bagi mengetengahkan ART sebagai satu daripada mod pengangkutan yang boleh melengkapkan rangkaian sistem sedia ada.

Sekiranya semua berjalan lancar, perkhidmatan trem itu dijangka bermula akhir tahun ini.

Jurutera di Jabatan Kejuruteraan dan Penyelenggaraan Bahagian Trafik Dan Pengangkutan Awam PPj Muhammad Masrizal Saad berkata dua laluan diperkenalkan sempena tempoh percubaan iaitu laluan 1 yang beroperasi dari Isnin hingga Jumaat manakala laluan kedua beroperasi Sabtu dan Ahad sahaja.

“Laluan 1 bermula dari Stesen MRT Putrajaya Sentral, melalui destinasi pentadbiran kerajaan di Presint 2, 3 dan 4, manakala laluan 2 pula adalah dari Stesen MRT Putrajaya Sentral ke IOI City Mall,” katanya ketika ditemui media baru-baru ini.

ART menggunakan teknologi oleh CRRC, anak syarikat China iaitu syarikat pengeluar utama sistem dan komponen rel di dunia.

Menurut Muhammad Masrizal, trem berkenaan yang tidak bergantung kepada bahan api itu boleh menampung sehingga 239 penumpang pada waktu biasa dan 307 orang pada waktu puncak.

“Tiada bayaran dikenakan kepada penumpang ketika tempoh percubaan ini dan orang awam yang ingin mencuba pengalaman menaiki ART hanya perlu menggunakan aplikasi melalui kod QR yang disediakan di stesen mengambil penumpang,” katanya.

Pengguna trem Zainol Awang, 69, berkata dia sanggup menempuh perjalanan lebih 100 kilometer dari Karak, Pahang untuk merasai sendiri pengalaman menaiki ART.

“Pagi naik bas dari Karak, lepas tu naik MRT ke Putrajaya, bagus sangat dan boleh dikembangkan lagi. Seronok negara kita semakin maju,” katanya.

Alia Jamin menyifatkan kemudahan terbaharu itu berupaya menarik lebih ramai pelancong ke Putrajaya di samping dapat melonjakkan ekonomi setempat.

Maklumat lanjut berkenaan pengoperasian ART sepanjang tempoh percubaan berkenaan akan dimuat naik di laman sesawang dan laman media sosial rasmi PPj di https://www.ppj.gov.my/.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619