AGENDA

Anggota maut dalam serangan balai polis diklasifikasi syahid

20 Mei 2024, 9:33 AM
Anggota maut dalam serangan balai polis diklasifikasi syahid

JOHOR BAHRU, 20 MEI: Dua anggota polis yang maut dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Jumaat lepas diklasifikasikan sebagai mati syahid kerana kematian fi sabilillah.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata kematian Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, itu adalah di jalan Allah, kerana menjaga dan mempertahankan keselamatan negara.

“Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor memutuskan jenazah Allayarham kedua-dua anggota ini sebagai syahid akhirat, dengan pengurusan jenazah disempurnakan dengan melengkapkan empat rukun tahjiz jenazah iaitu dimandikan, dikafankan, disolatkan dan dikebumikan.

“Jawatankuasa mendoakan agar roh kedua-dua anggota ini dicucuri rahmat, kasih sayang dan keredhaan Allah, serta mendoakan Polis Diraja Malaysia terus bersemangat dan diberikan kekuatan untuk menjalankan tugas dalam menjaga keselamatan daripada pelbagai ancaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berhubung pengurusan jenazah suspek lelaki berusia 21 tahun yang ditembak mati dalam serangan itu, beliau berkata jawatankuasa memutuskan jenazah dimandi, dikafan dan disolat di hospital atau di rumah keluarganya sahaja, bukan di masjid atau surau.

Mohd Fared berkata jenazah suspek perlu dikebumikan di tanah perkuburan yang telah ditetapkan jawatankuasa, dengan kedudukan kubur berjauhan dari liang lahad penghuni kubur yang lain.

Beliau berkata langkah itu, sebagai peringatan kepada masyarakat agar tidak terlibat atau melakukan perkara seperti yang dilakukan suspek.

“Ia juga sebagai tanda menzahirkan kebencian terhadap apa yang telah dilakukan suspek, lebih-lebih lagi membunuh anggota yang menjaga keselamatan negara yang tiada melakukan salah dan silap terhadap suspek,” katanya.

Terdahulu, jenazah suspek dikebumikan di Pusara Islam Kampung Sungai Tiram di sini hari ini dengan dihadiri beberapa penduduk kampung serta pegawai dan anggota polis.

Dalam kejadian pada 2.45 pagi Jumaat itu, Ahmad Azza Fahmi dan Muhamad Syafiq meninggal dunia selepas diserang oleh seorang lelaki bertopeng bersenjatakan parang, manakala Koperal Mohd Hasif Roslan ditembak dan dilaporkan stabil selepas dirawat di Hospital Sultan Ismail di sini.

Pada Sabtu lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilapor berkata suspek yang terbunuh dalam serangan itu dipercayai bertindak sendirian dan tiada kaitan dengan mana-mana kumpulan.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619