AGENDA

Penjawat awam antara empat ditahan menyamar polis, samun warga Myanmar

20 Mei 2024, 12:25 AM
Penjawat awam antara empat ditahan menyamar polis, samun warga Myanmar

KOTA BHARU, 20 MEI: Seorang penjawat awam antara empat lelaki ditahan menyamar sebagai polis dan disyaki menyamun lapan warga Myanmar di Kampung Kubang Tin, Melor di sini semalam.

Kejadian terbabit berlaku pada 10.30 malam apabila mangsa bersama rakan-rakannya sedang dalam perjalanan pulang ke rumah telah ditahan empat lelaki tempatan yang memperkenalkan diri sebagai polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu Supt Wan Ruzailan Wan Mat Rusoff berkata suspek kemudian telah merampas beg duit, telefon bimbit dan kad UNHCR milik mangsa dan rakan-rakannya.

Berikutan itu, keempat-empat suspek terus melarikan diri. Kesemua mangsa yang disamun berumur 20-an bekerja sebagai buruh kasar di sekitar Kota Bharu serta menetap di Malaysia selama 13 tahun.

“Bertindak atas maklumat risikan, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu telah menahan kesemua suspek pada 11 malam semalam di tepi jalan Kampung Kubang Tin,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Wan Ruzailan berkata polis turut merampas tiga motosikal, topi keledar dan sejumlah wang tunai.

Beliau berkata kesemua suspek berumur lingkungan 29 hingga 43 tahun direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari bermula hari ini hingga 25 Mei.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Sehubungan dengan itu, polis menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619