Tiga lelaki ditahan menyamar polis dan samun

22 Sep 2025, 3:15 PM
Tiga lelaki ditahan menyamar polis dan samun

KUALA LUMPUR, 22 SEPT: Tiga lelaki ditahan di Jalan Kampung Pasir di sini awal pagi tadi kerana disyaki melakukan samun menggunakan senjata api tiruan dan menyamar sebagai anggota polis.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Hoo Chang Hook berkata dalam kejadian pada 3.30 pagi itu, sepasukan anggota Unit Rondaan Bermotosikal Balai Polis Pantai telah membuat rondaan di Jalan Kampung Pasir, Pantai Dalam dan terserempak dengan empat lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata seorang daripada lelaki tempatan itu telah melaporkan bahawa tiga suspek mengacukan sepucuk pistol serta merampas kad pengenalan, telefon bimbit dan dompet miliknya.

"Suspek kemudian cuba melarikan diri dengan menaiki motosikal namun berjaya ditahan oleh pasukan polis yang bertindak pantas di lokasi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis turut menemukan beberapa barangan dirampas iaitu sepucuk pemetik api berbentuk pistol (pistol tiruan), serta beberapa barangan peribadi mangsa yang berusia 17 tahun seperti telefon bimbit, dompet dan beg.

"Turut dirampas dua motosikal yang digunakan suspek berusia 26 hingga 35 tahun dalam kejadian berkenaan," katanya.

Hoo berkata modus operandi kumpulan itu ialah menyasarkan penunggang motosikal atau individu bersendirian dengan memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan telah aktif sejak enam bulan lepas.

"Suspek kemudian akan menunjukkan pistol tiruan kepada mangsa dan melakukan pemerasan wang tunai atau barangan peribadi serta mengugut untuk dibawa ke balai polis jika enggan berkerjasama," katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.

Tambah Hoo semakan rekod juga mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk masih dikehendaki bersabit kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619