AGENDA

Pusat hiburan dibaling bom petrol, dua suspek ditahan

10 Mei 2024, 3:00 PM
Pusat hiburan dibaling bom petrol, dua suspek ditahan

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Polis menahan dua lelaki berumur 25 tahun di Batu Caves petang tadi bagi membantu siasatan berkaitan kes sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng terbakar akibat dibaling bom petrol awal pagi semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata kedua-dua lelaki tempatan berkenaan ditahan pukul 3 petang di sebuah rumah.

"Kita akan mengemukakan perintah reman terhadap kedua-dua suspek terbabit esok dan berdasarkan siasatan awal, kejadian berkenaan tidak melibatkan sebarang unsur ekstremisme," katanya ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rusdi berkata pihaknya juga telah mengambil keterangan pemilik premis dan pengurus pusat hiburan berkenaan bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah," katanya.

Semalam, tular video melalui media sosial rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan empat individu menaiki motosikal membaling bom petrol di hadapan pusat hiburan terbabit.

Sementara itu, mengulas mengenai 10 suspek termasuk tiga warga asing yang mempunyai kaitan dengan lelaki Israel yang didakwa di mahkamah atas tuduhan memiliki senjata api, Rusdi berkata kesemua mereka akan dibebaskan minggu depan dengan jaminan polis.

Beliau berkata tiga warga asing berkenaan bagaimanapun akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen bagi tindakan lanjut.

"Mereka akan dibebaskan sebelum tempoh reman tamat pada 14 dan 15 Mei ini, walaupun dibebaskan mereka tetap boleh dipanggil semula bagi membantu siasatan," katanya.

Pada 30 April lepas, Rusdi dilaporkan berkata polis akan mengadakan perbincangan dengan Peguam Negara bagi menentukan bentuk tindakan lanjut terhadap individu berkenaan yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Pada 11 April, lelaki Israel yang memiliki pasport kewarganegaraan Perancis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan memiliki enam senjata api dan 158 butir peluru di sebuah hotel di ibu negara bulan lepas.

Sepasang suami isteri pula mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Klang pada 8 April terhadap pertuduhan yang berkaitan dengan pemilikan senjata api berkenaan.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619