AGENDA

Sektor perkhidmatan naik 6.1 peratus kepada RM594.5 bilion suku pertama 2024

9 Mei 2024, 8:38 AM
Sektor perkhidmatan naik 6.1 peratus kepada RM594.5 bilion suku pertama 2024
Sektor perkhidmatan naik 6.1 peratus kepada RM594.5 bilion suku pertama 2024

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Sektor perkhidmatan Malaysia mencatatkan pertumbuhan 6.1 peratus tahun ke tahun bagi suku pertama 2024 kepada RM594.5 bilion, disumbangkan oleh prestasi menggalakkan bagi semua segmen di bawah sektor perkhidmatan, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan ketara dicatatkan oleh segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan yang meningkat RM23.3 bilion kepada RM451.6 bilion.

"Peningkatan ini diikuti oleh segmen maklumat dan komunikasi dan pengangkutan dan penyimpanan (+RM5.2 bilion; 6.7 peratus), segmen profesional, hartanah dan pentadbiran dan khidmat sokongan (+RM3.3 bilion; 9.5 peratus) dan segmen kesihatan swasta, pendidikan swasta, kesenian, hiburan dan rekreasi dan perkhidmatan persendirian dan lain-lain aktiviti (+RM2.4 bilion; 12.7%)," katanya.

Bagi pendapatan e-dagang, Ketua Perangkawan itu berkata ia mencatatkan nilai RM293.2 bilion iaitu pertumbuhan 0.5 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2024.

Untuk perbandingan suku tahun ke suku tahun, pendapatan e-dagang meningkat secara marginal sebanyak 0.5 peratus.

Beliau berkata jumlah pekerja dalam sektor ini adalah 4.4 juta orang, meningkat 72,200 orang atau 1.7 peratus tahun ke tahun.

[caption id="attachment_586377" align="aligncenter" width="1003"] Antara pekerja p-panggilan yang hadir
pada majlis penyerahan Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) sempena Selangor Youth Festival 2023 di Dataran Karnival Stadium Shah Alam, Shah Alam pada 10 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/ SELANGORKINI[/caption]

Sementara itu, gaji dan upah yang dibayar mencatatkan peningkatan RM1.0 bilion atau 3.3 peratus tahun ke tahun.

Dalam satu kenyataan berasingan, Mohd Uzir berkata indeks volum perkhidmatan tumbuh 4.5 peratus tahun ke tahun dengan mencatatkan 150.4 mata pada suku pertama 2024, manakala bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun pula, ia naik 1.3 peratus.

Beliau berkata prestasi indeks volum perkhidmatan bagi suku ini dipacu oleh kenaikan segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan yang tumbuh 4.0 peratus.

“Ini diikuti dengan pertumbuhan dalam segmen maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan (6.0 peratus); segmen perkhidmatan perniagaan dan kewangan (3.7 peratus), dan segmen perkhidmatan lain (6.8 peratus),” katanya.

Sementara itu, segmen perkhidmatan lain merekodkan pertumbuhan positif 6.8 peratus berikutan peningkatan dalam kesihatan swasta (9.3 peratus), pendidikan swasta (7.2 peratus) serta kesenian, hiburan dan rekreasi dan perkhidmatan persendirian dan lain-lain aktiviti (3.9 peratus), kata ketua perangkawan itu.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619