AGENDA

LHDN berhak geledah individu, syarikat culas bayar cukai

30 Apr 2024, 9:30 AM
LHDN berhak geledah individu, syarikat culas bayar cukai

CYBERJAYA, 30 APRIL: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan menggunakan kuasa mengikut peruntukan undang-undang sekiranya perlu mengambil tindakan penggeledahan terhadap mana-mana individu atau syarikat yang dikenal pasti culas membayar cukai.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata pihaknya mempunyai kaedah tertentu dalam menentukan syarikat yang culas membayar cukai berdasarkan kepada kajian dan maklumat yang diterima daripada pelbagai sumber.

"Bagi kes-kes tertentu yang ada keperluan kita guna kuasa kita untuk buat penggeledahan seperti diperuntukkan undang-undang.

"Kes yang dikenal pasti sahaja yang memerlukan kita buat penggeledahan tapi kes yang mempunyai risiko rendah kita akan guna pengauditan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri LHDN di sini, hari ini.

Mengulas mengenai pelaksanaan projek rintis sistem invois elektronik (e-invois), Abu Tariq berkata sistem tersebut akan bermula sepenuhnya pada Julai 2025.

Dalam tempoh itu, beliau berkata pihaknya akan menyediakan segala kemudahan untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) antaranya melalui penggunaan portal percuma selain memberikan kesedaran dan pendidikan.

"Portal ini semua boleh guna, tetapi untuk syarikat-syarikat besar dengan pendapatan lebih RM100 juta, ia akan bermula 1 Ogos ini.

"Syarikat besar ini mereka ada pilihan untuk membangunkan sistem mereka sendiri atau mungkin guna portal tersebut," katanya.

Inisiatif e-invois di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) diperkenalkan seiring dengan Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang Kebangsaan (NESR) 2.0 dan Program Mangkin Malaysia Digital (PEMANGKIN).

Sebanyak 4,000 syarikat yang memperoleh pendapatan melebihi RM100 juta setahun disasarkan menjadi kumpulan pertama untuk terlibat dalam pelaksanaan e-invois yang akan dilaksanakan mulai 1 Ogos.

Syarikat dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM25 juta dan sehingga RM100 juta akan mula mengguna pakai e-invois pada 1 Jan 2025.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619