AGENDA

Ekonomi negara diunjur berkembang 3.9 peratus dipacu sektor perkhidmatan

19 Apr 2024, 6:00 AM
Ekonomi negara diunjur berkembang 3.9 peratus dipacu sektor perkhidmatan

KUALA LUMPUR, 19 APRIL: Ekonomi Malaysia dianggarkan berkembang 3.9 peratus pada suku pertama 2024 berdasarkan anggaran awal Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berbanding 3.0 peratus pada suku sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan hari ini berkata sektor perkhidmatan meningkat 4.4 peratus pada suku pertama 2024, disokong oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, pengangkutan dan penyimpanan dan perkhidmatan perniagaan.

DOSM dalam kenyataan sama berkata sektor pembuatan mencatatkan pemulihan kepada 1.9 peratus pada suku tahun ini selepas menyusut 0.3 peratus pada suku keempat 2023.

Pertumbuhan sektor ini disokong oleh pembuatan produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka; peralatan pengangkutan, pembuatan lain dan pembaikan; serta produk petroleum, kimia, getah dan plastik, katanya.

Menurut kenyataan itu, perlombongan dan pengkuarian berkembang sebanyak 4.9 peratus pada suku pertama 2024 (suku keempat 2023: 3.8 peratus) dan pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan dalam semua aktiviti, dengan subsektor gas asli menjadi penyumbang utama.

Mohd Uzir pula berkata sektor pertanian meningkat 1.3 peratus (suku keempat 2023: 1.9 peratus) pada suku ini, disumbangkan oleh pengeluaran sawit dan ternakan.

Sektor pembinaan menunjukkan pertumbuhan yang signifikan sebanyak 9.8 peratus berbanding 3.6 peratus pada suku tahun sebelumnya, terutama dipacu oleh subsektor kejuruteraan awam.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619