AGENDA

Malaysia Airlines, AirAsia batal penerbangan ke Sabah, Sarawak susulan letusan Gunung Ruang

18 Apr 2024, 3:23 AM
Malaysia Airlines, AirAsia batal penerbangan ke Sabah, Sarawak susulan letusan Gunung Ruang

KOTA KINABALU, 18 APRIL: Beberapa penerbangan Malaysia Airlines dan AirAsia antara Sabah, Sarawak dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dibatalkan hari ini berikutan letusan gunung berapi di Gunung Ruang, Indonesia.

Malaysia Airlines dalam kenyataan di akaun media sosial rasmi X hari ini memaklumkan syarikat penerbangan itu membatalkan beberapa penerbangan yang terjejas dan menasihatkan penumpang untuk menyemak status penerbangan terkini dan saranan perjalanan masing-masing.

“Pembatalan penerbangan pada 18 April 2024 berikutan letusan gunung berapi Gunung Ruang. Berikutan letusan gunung berapi yang berlaku di Gunung Ruang, Indonesia, Malaysia Airlines akan membatalkan beberapa penerbangan ke/dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KUL) ke Sabah dan Sarawak,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, pejabat Timbalan Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup dalam kenyataan berkata penerbangan membawa mendiang Tan Sri Joseph Kurup (pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah dan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah) ke Kota Kinabalu yang dijadualkan hari ini dibatalkan.

“Saya akan memaklumkan masa penerbangan terkini selepas menerima maklum balas daripada MAS (Malaysia Airlines),” katanya.

AirAsia dalam kenyataan pula berkata lapan daripada penerbangan berjadual antara KLIA dan Tawau telah dibatalkan. Turut dibatalkan adalah lapan penerbangan antara KLIA dan Kota Kinabalu, menjadikan 16 penerbangan yang terjejas antara KLIA, Kota Kinabalu dan Tawau.

Menurutnya ia telah memaklumkan kepada semua penumpang terjejas, manakala penumpang dalam perjalanan ke atau dari destinasi yang terkesan digalakkan untuk menyemak e-mel dan telefon mudah alih berdaftar mereka untuk pemberitahuan mengenai pembatalan.

“Tetamu AirAsia yang melakukan perjalanan ke/dari destinasi yang terjejas digalakkan menyemak status penerbangan terkini mereka di airasia.com/flightstatus.

“AirAsia akan terus memantau situasi gunung berapi Gunung Ruang dan akan memberikan lebih banyak maklumat perkembangan terkini,” kata kenyataan itu.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619