AGENDA

KPKM beri jaminan bekalan makanan asas cukup sepanjang Syawal

16 Apr 2024, 10:10 AM
KPKM beri jaminan bekalan makanan asas cukup sepanjang Syawal

PUTRAJAYA, 16 APRIL: Bekalan makanan asas dijamin mencukupi sepanjang Syawal ini selari dengan keupayaan pengeluaran domestik komoditi makanan utama negara oleh petani, pesawah, peladang, penternak serta nelayan pada Ramadan dan sambutan Aidilfitri baru-baru ini.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bekalan komoditi makanan yang terhad pengeluaran domestiknya pula ditampung melalui pengimportan bekalan makanan untuk keperluan pengguna di pasaran.

Menurut KPKM penggunaan bekalan makanan asas dalam kuantiti yang besar diperlukan sepanjang Syawal memandangkan tradisi mengadakan rumah terbuka menjadi kelaziman bagi rakyat Malaysia.

“Perhatian diberikan kepada lapan komoditi makanan utama yang ditetapkan dalam Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) iaitu beras, ayam, telur, daging, sayur-sayuran, buah-buahan, makanan laut dan susu segar bagi memastikan bekalannya mencukupi,” menurut kenyataan itu.

KPKM memaklumkan kebolehcapaian komoditi makanan utama berkenaan juga akan disokong oleh outlet pemasaran di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), selain pasar raya dan kedai runcit di seluruh negara.

Dalam masa sama, KPKM turut menggalakkan amalan penggunaan bekalan makanan mengikut keperluan bagi mengelakkan pembaziran makanan khususnya dalam tempoh penganjuran rumah terbuka sepanjang Syawal.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619