AGENDA

Peralihan monsun: Orang ramai dinasihat peka perubahan cuaca

6 Apr 2024, 9:40 AM
Peralihan monsun: Orang ramai dinasihat peka perubahan cuaca

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: Orang ramai dinasihatkan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) susulan peralihan monsun yang bermula pada Mac hingga Mei ini.

Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam (APM) Datuk Aminurrahim Mohamed berkata masyarakat perlu lebih berwaspada kerana sebarang perubahan cuaca seperti hujan lebat dan ribut boleh membawa kepada kejadian banjir kilat dan tanah runtuh.

“Berbeza dengan Monsun Timur Laut, perubahan cuaca semasa peralihan monsun berlaku di luar jangkaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan negara memasuki permulaan fasa peralihan monsun pada 29 Mac dan berterusan hingga Mei yang membawa hujan lebat berserta angin kencang berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.

Menurut Aminurrahim sepanjang Monsun Timur Laut yang bermula pada 11 Nov hingga penghujung Mac lepas seramai 92,534 mangsa banjir ditempatkan di 751 pusat pemindahan sementara selain merekodkan empat kematian.

Dalam pada itu, Aminurrahim berkata seramai 1,416 anggota APM bertugas dalam Op Prihatin di seluruh negara sempena Aidilfitri bermula semalam bagi membantu orang ramai yang menghadapi kesukaran.

Beliau berkata operasi itu akan dibahagikan kepada dua fasa iaitu fasa pertama pada 5 hingga 9 April dan fasa kedua pada 12 hingga 14 April.

Skop penugasan anggota, katanya antaranya memberi khidmat nasihat berkaitan ilmu pertahanan awam kepada komuniti, khidmat kemanusiaan seperti kejadian pokok tumbang, kemalangan jalan raya dan pembaikan kerosakan kecil.

“Anggota ini akan ditempatkan di kawasan tumpuan ramai seperti di hentian rehat, pusat beli-belah dan persisiran pantai selain melakukan rondaan di jalan utama negeri dan persekutuan,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619