AGENDA

Puluhan ribu penumpang dijangka banjiri KLIA mulai esok

5 Apr 2024, 3:27 PM
Puluhan ribu penumpang dijangka banjiri KLIA mulai esok

SEPANG, 5 APRIL: Puluhan ribu penumpang dijangka membanjiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2 mulai esok hingga malam Aidilfitri, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata waktu kemuncak penumpang mula balik kampung menggunakan pengangkutan udara ialah esok dan Ahad kerana ramai mengambil cuti sempena perayaan Aidilfitri yang dijangka disambut pada 10 April ini.

"Sabtu dan Ahad dijangka paling sibuk kerana kebanyakan ambil peluang cuti pada Isnin dan Selasa. Kebanyakan penerbangan sudah penuh hingga 9 April," katanya usai majlis pelepasan penumpang penerbangan lewat malam dengan tambang tetap pertama AirAsia dari Kuala Lumpur ke Miri di KLIA Terminal 2 di sini hari ini.

Loke berkata tiga syarikat penerbangan iaitu AirAsia, Malaysia Airlines dan Batik Air mendapat sambutan tinggi dengan muatan penuh sejak tiga minggu lepas terutama bagi laluan Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur ke Tawau.

Beliau turut meraikan pekerja sektor pengangkutan udara termasuk juruteknik kerana mengorbankan masa dan cuti raya mereka bagi memastikan operasi berjalan lancar.

Loke juga berkata inisiatif penerbangan lewat malam AirAsia memanfaatkan 22,000 penumpang ke Sarawak dengan tambang tetap pada RM298 sehala dan RM348 ke Sabah.

Beliau berkata sebanyak 122 penerbangan lewat malam AirAsia yang bermula hari ini hingga 14 April bukan sahaja memastikan penerbangan mencukupi sempena Aidilfitri malah penumpang dapat nikmati tambang berpatutan.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Aviation Bo Lingam pula berkata inisiatif penerbangan tambahan lewat malam merupakan komitmen syarikat penerbangan itu bagi memastikan tambang berpatutan dapat dinikmati oleh semua lebih-lebih lagi ketika musim perayaan.

"Hari Raya merupakan antara tempoh paling sibuk bagi AirAsia dengan lebih 500 penerbangan harian akan berlepas dari semua hab AirAsia," katanya.

Beliau berkata semua hab AirAsia dijangka menyaksikan kebanjiran penumpang sebanyak 75,000 bermula esok dengan 40,000 daripada mereka di KLIA Terminal 2.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619