AGENDA

Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim dijangka beroperasi semula Isnin

7 Dis 2024, 12:41 PM
Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim dijangka beroperasi semula Isnin

ALOR SETAR, 7 DIS: Landasan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) yang ditutup sejak 29 Nov lepas berikutan daerah Kota Setar dilanda bencana banjir, dijangka dibuka dan beroperasi semula Isnin ini.

Pengurus Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Ikram Alif Mansoor berkata pihaknya positif dapat membuka landasan di lapangan terbang itu secepat mungkin.

"Kita telah memaklumkan mengenai penutupan landasan ini hingga esok, jadi akan cuba untuk membuka landasan ini secepat mungkin tetapi sekiranya tidak boleh mungkin tambah masa dalam sehari atau dua lagi sebelum ia boleh beroperasi semula.

"Kerja-kerja pembersihan telah dan sedang dijalankan, pembaikan peralatan juga dilakukan. Fokus utama adalah untuk membersihkan tempat yang kritikal iaitu kawasan kapal terbang mendarat dan setakat ini ia sudah dibersihkan sepenuhnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau memberi penerangan dan perkongsian mengenai situasi semasa LTSAH yang terjejas akibat banjir baru-baru ini kepada Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Ikram Alif berkata ketika ini pihaknya perlu menguji beberapa perkara bagi melihat dan menilai kerosakan yang berlaku akibat banjir itu namun tiada kerosakan besar yang dikesan.

"Landasan kapal terbang ini sejauh 2.7 kilometer (km) dan semasa banjir tempoh hari, kawasan landasan ditenggelami air sedalam 50 sentimeter (cm), kawasan laluan teksi 80cm dan kawasan apron hanya 4cm.

"Sepanjang tempoh penutupan landasan itu, banyak penerbangan terpaksa dibatalkan. Dianggarkan 20 hingga 24 penerbangan masuk dan keluar dari Alor Setar sehari...kita akan buat keputusan esok dan pihak penerbangan juga akan buat keputusan sama ada membenarkan kapal terbang syarikat mereka masuk keluar Alor Setar atau tidak," katanya.

Ikram Alif berkata bagi mengelakkan situasi seperti ini daripada berulang, perbincangan akan diadakan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan, Pengangkutan negeri Dzowahir Ab Ghani.

Pada 29 Nov lepas, Malaysia Airport memaklumkan landasan di LTSAH ditutup sementara selepas keadaan banjir yang semakin memburuk melanda Kota Setar.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619