AGENDA

Hoki: Empat pemain remaja sertai pemilihan skuad Speedy Tigers

1 Apr 2024, 3:30 PM
Hoki: Empat pemain remaja sertai pemilihan skuad Speedy Tigers

KUALA LUMPUR, 1 APRIL: Empat pemain muda yang beraksi di Piala Dunia Remaja 2023 terpilih berada dalam senarai 30 pemain skuad hoki senior lelaki negara.

Muhammad Adam Ashraf, Muhammad Faris Harizan, Mughni Mohamad Kamal dan Alfarico Lance Liau Jr berjaya menambat hati Ketua Jurulatih Sarjit Singh untuk menjalani kem latihan pemilihan fasa kedua yang bermula malam ini.

Sarjit berkata kesemua mereka mempunyai bakat dan layak diberikan peluang beraksi bersama skuad senior kebangsaan.

"Mereka ini ada potensi untuk ke tahap lebih tinggi, jadi menjadi tugas kita untuk membantu mereka sampai ke tahap itu,” katanya dalam sidang media di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.

Beliau turut mengumumkan enam muka baharu bagi merebut peluang membuat penampilan sulung bersama Speedy Tigers iaitu Che Shahrul Azmi Che Saufi, Muhamad Kamarulzaman Kamaruddin, Muhammad Syawal Abd Razak, T Naaveennash, Azimuddin Syakir Kamaruddin dan Nur Rahull Hrsikesa Thaitchana Muruthi.

Selain itu pemain berpengalaman yang tersenarai termasuk Muhammad Hafizuddin Othman, pasangan adik beradik Fitri dan Faizal Saari, Syed Muhammad Syafiq Syed Cholan, Muhammad Najib Hassan dan Marhan Jalil.

Sarjit berkata beliau kemudian akan menyenarai pendek 18 pemain untuk beraksi pada kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak pada 4 hingga 11 Mei ini.

Bagaimanapun katanya perubahan senarai pemain Speedy Tigers akan terus dilakukan bergantung kepada prestasi ditampilkan pemain.

“Pada 1 Mei kita akan umumkan senarai 18 pemain yang akan mengharungi Piala Sultan Azlan Shah, kita akan beri peluang kepada semua orang sebab dalam tiga bulan ada tiga kejohanan termasuk Trofi Juara-Juara Asia pada September, jadi semua diberi peluang," katanya.

Speedy Tigers juga bakal beraksi pada kejohanan Piala Negara-Negara di Poland dari 30 Mei hingga 1 Jun depan.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619