AGENDA

Denggi catat 3,041 kes, empat kematian dari 17 hingga 23 Mac

1 Apr 2024, 9:08 AM
Denggi catat 3,041 kes, empat kematian dari 17 hingga 23 Mac

PUTRAJAYA, 1 APRIL: Jumlah kes demam denggi meningkat kepada 3,041 kes pada Minggu Epidemiologi ke-12 (ME12) iaitu dari 17 hingga 23 Mac lalu berbanding 2,905 kes minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan menerusi kenyataan berkata empat kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada ME12.

Beliau berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga ME12 adalah 41,565 kes berbanding 26,222 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

"Terdapat 28 kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan berbanding 17 kematian bagi tempoh sama pada 2023,” katanya.

Dr Muhammad Radzi berkata bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada ME12 adalah 141 lokaliti berbanding 161 lokaliti hotspot minggu sebelumnya.

Beliau berkata daripada 141 lokaliti dilaporkan, Selangor mencatatkan 118 lokaliti diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (13), Pulau Pinang (enam), Perak (dua) serta masing-masing satu lokaliti di Negeri Sembilan dan Johor.

Dr Muhammad Radzi berkata bagi survelan chikungunya, terdapat empat kes direkodkan pada ME12 dan jumlah kumulatif kes chikungunya hingga kini adalah 13 kes.

Beliau berkata terdapat dua wabak chikungunya dilaporkan pada ME12 manakala bagi survelan zika 568 sampel darah dan satu sampel urin dijalankan saringan zika dengan hasil kesemuanya adalah negatif.

Menurut Dr Muhammad Radzi musim perayaan menyebabkan pergerakan masyarakat meningkat seterusnya meningkatkan risiko berlakunya peningkatan jangkitan demam denggi.

Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya memastikan tiada bekas yang boleh menakung air di dalam dan di luar rumah serta menutup semua bekas yang menyimpan air dengan rapat sebelum meninggalkan rumah untuk pulang ke kampung dan bercuti.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619