AGENDA

Separuh penduduk dijangka kemas kini Padu sebelum tarikh akhir

29 Mac 2024, 8:20 AM
Separuh penduduk dijangka kemas kini Padu sebelum tarikh akhir

KUALA LANGAT, 29 MAC: Jabatan Perangkaan (DOSM) menjangkakan separuh daripada populasi penduduk negara berumur 18 tahun ke atas akan mendaftar Pangkalan Data Utama (Padu) menjelang tarikh akhir, Ahad ini.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata jangkaan itu berdasarkan peningkatan mendadak yang diterima dengan 9.24 juta pendaftaran baharu direkodkan sejak semalam.

“Sehingga semalam 9.24 juta orang sudah daftar. Jumlah ini adalah 42.1 peratus daripada keseluruhan rakyat yang berumur 18 tahun ke atas iaitu seramai 21 juta orang.

“Jadi kita sasarkan ia boleh mencecah sehingga 50 peratus dalam tempoh tiga hari ini sebelum pendaftaran Padu ditutup pada 31 Mac,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu beliau meninjau kaunter pendaftaran dan pengemaskinian Padu diiringi Pengarah DOSM negeri Hartini Yaacob di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Buaya di sini, hari ini.

Mohd Uzir menambah ketika ini Perlis menjadi negeri tertinggi penduduk yang mendaftar maklumat dalam Padu dengan 54.4 peratus, diikuti Terengganu (50.2 peratus) dan Kelantan sebanyak 50 peratus.

Jelasnya terdapat lima negeri turut menghampiri jumlah pendaftaran sebanyak 50 peratus iaitu Pahang, Perak, Sabah, Sarawak dan Kedah.

“Kita sediakan 6,000 kaunter di seluruh negara. Kita juga mempertimbangkan untuk membuka kaunter seawal jam 7 pagi pada hari terakhir pendaftaran Padu pada Ahad ini,” katanya.

Padu yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari lalu menjadi platform tunggal maklumat individu dan isi rumah, sekali gus meningkat kecekapan pengagihan subsidi serta bantuan kepada rakyat yang layak.

Pendaftaran boleh dibuat melalui laman sesawang www.padu.gov.my bermula 2 Januari sehingga 31 Mac ini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619