AGENDA

Buat aduan SKMM jika gambar, video anak dijadikan kandungan tanpa kebenaran

24 Mac 2024, 7:00 AM
Buat aduan SKMM jika gambar, video anak dijadikan kandungan tanpa kebenaran

KULAI, 24 MAC: Ibu bapa dan penjaga kanak-kanak diminta membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sekiranya rakaman gambar dan video anak-anak mereka dijadikan kandungan media sosial oleh mana-mana pihak tanpa kebenaran.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata MCMC juga mempunyai kuasa untuk menurunkan kandungan media sosial melibatkan kanak-kanak yang dimuat naik tanpa kebenaran ibu bapa dan penjaga mereka bagi memastikan tiada mana-mana pihak dieksploitasi demi kepentingan peribadi.

Beliau berkata Kementerian Komunikasi tidak mempunya garis panduan khusus berhubung perkara tersebut, namun Kementerian Pendidikan (KPM) mempunyai panduan jelas mengenai penggunaan media sosial melibatkan guru dan murid yang dikeluarkan sejak 2017.

"Prinsipnya adalah gambar dan video kanak-kanak, sangat penting untuk kita dapatkan persetujuan ibu bapa, kerana mereka penjaga kepada budak-budak tersebut, persetujuan itu perlu dan ia (kuasa menurunkan kandungan) terpakai untuk semua platform. Tindakan akan diambil jika dimuat naik tanpa kebenaran.

"Jadi, sekiranya Kementerian Komunikasi atau MCMC terima aduan video TikTok atau media sosial lain, guna pakai gambar atau video kanak-kanak tanpa persetujuan ibu bapa, MCMC akan hubungi platform tersebut untuk turunkan kandungan itu kerana persetujuan itu sangat penting," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Program Serahan Sumbangan Masjid dan Surau Parlimen Kulai Sempena Ramadan di sebuah pusat beli-belah di sini hari ini.

Pada 18 Mac lepas, Pengerusi Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) Rafiq Razali dilapor mendesak guru supaya tidak menjadikan pelajar mereka sebagai kandungan di media sosial terutamanya jika tanpa kebenaran ibu bapa.

Pada 4 Mac lepas, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dilapor berkata golongan guru tidak boleh sewenang-wenangnya menyalahgunakan platform media sosial dan tindakan tegas akan diambil jika terbukti mereka melanggar garis panduan berkenaan.

Sementara itu, berhubung program serahan tersebut, Teo yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata sebanyak RM87,000 telah disumbangkan oleh Pejabat Parlimen Kulai kepada 29 masjid dan 58 surau dalam Parlimen Kulai sempena Ramadan tahun ini.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619