AGENDA

Lebih separuh warga Gaza di ambang kebuluran, Bank Dunia gesa tindakan segera

20 Mac 2024, 7:30 AM
Lebih separuh warga Gaza di ambang kebuluran, Bank Dunia gesa tindakan segera

KUALA LUMPUR, 20 MAC: Kumpulan Bank Dunia menggesa tindakan segera untuk menyelamatkan nyawa kerana lebih separuh penduduk Gaza berada di ambang kebuluran, termasuk kanak-kanak dan warga emas.

"Kami menyertai komuniti antarabangsa dalam menggesa akses segera, percuma dan tanpa halangan kepada bekalan perubatan, makanan dan perkhidmatan penting kehidupan melalui semua cara yang ada pada kelajuan dan skala kepada penduduk Gaza," kata agensi yang berpangkalan di Washington itu dalam satu kenyataan pada Selasa.

Laporan terbaharu oleh Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa keseluruhan penduduk di Semenanjung Gaza atau kira-kira 2.23 juta orang menghadapi tahap keterjaminan makanan akut yang tinggi.

Menurut laporan itu, antara pertengahan Mac dan pertengahan Julai dalam senario yang paling mungkin dan di bawah andaian peningkatan konflik termasuk serangan darat di Rafah, separuh daripada penduduk Semenanjung Gaza atau kira-kira 1.11 juta orang dijangka berhadapan dengan situasi bencana.

Selain itu, kebuluran kini diunjurkan dan akan berlaku di utara Gaza dan wilayah-wilayah lain serta dijangka berlaku dari pertengahan Mac 2024 hingga Mei 2024.

Kumpulan Bank Dunia berkata lembaga pengarahnya pada Dis 2023 meluluskan dana US$35 juta kepada rakan kongsi pembangunan yang aktif di Gaza.

Rakan kongsi itu termasuk Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Program Makanan Sedunia (WFP) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ini termasuk pakej US$10 juta untuk WFP membeli bungkusan makanan dan baucar untuk mencapai anggaran 377,000 orang, katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619