AGENDA

Perlis cadang pintu sempadan Padang Besar dibuka hingga 12 tengah malam

20 Mac 2024, 1:19 AM
Perlis cadang pintu sempadan Padang Besar dibuka hingga 12 tengah malam

PADANG BESAR, 20 MAC: Kerajaan Perlis akan mengusulkan cadangan pintu sempadan negara di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, beroperasi sehingga 12 tengah malam berbanding setakat 10 malam sahaja pada masa ini, kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Pengerusi Jawatankuasa Hubungan dan Kerjasama Sempadan Perlis Izizam Ibrahim berkata pihaknya akan menyediakan kertas cadangan itu untuk dipertimbangkan KDN, dengan proses menyiapkan kertas itu dijangka selepas raya nanti.

“Saya akan buat secepat mungkin tetapi ingat selepas raya, kena buat satu kajian semua peringkat (terlebih dahulu), (kena ada) dua tiga kali juga mesyuaratlah, macam mana pun tahun ini kita akan minta (kepada KDN), saya rasa peringkat (Kerajaan) Pusat tak ada masalah, akan beri kerjasama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Madani Ihya Ramadan Bilateral Malaysia-Thailand Peringkat Negeri Perlis 2024 di Masjid Ahmad, di sini malam tadi.

Turut hadir Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim, Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perlis Arif Helmi Junid dan Ketua Penolong Pengarah (Keselamatan) Seksyen Keselamatan Pembangunan Sempadan Malaysia-Thailand Lt Kolonel Mohamad Noh Abdul Kader.

Izizam berkata selain itu, melalui kertas cadangan itu juga pihaknya akan mengesyorkan supaya pintu sempadan Malaysia-Thailand di ICQS Wang Kelian dekat sini, dapat dibuka sehingga 8 malam berbanding hanya setakat pukul 7 malam ketika ini.

Beliau berkata kerajaan negeri berpendapat cadangan melanjutkan tempoh operasi pintu sempadan negara di Padang Besar dan Wang Kelian itu, sebagai usaha untuk meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi di Perlis selain merancakkan sekor pelancongan di negeri itu sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619