AGENDA

Adik melecur rumah terbakar, abang maut terjatuh ketika selamat diri

17 Mac 2024, 5:33 AM
Adik melecur rumah terbakar, abang maut terjatuh ketika selamat diri

KUANTAN, 17 MAC: Seorang lelaki maut manakala adiknya melecur pada bahagian tangan dalam kejadian kebakaran di Felda Tersang Satu, Raub awal pagi ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa dalam kenyataan berkata Abd Shukur Abdullah Suhaimin, 46, meninggal dunia di tempat kejadian apabila terjatuh di bahagian belakang rumah ketika menyelamatkan diri.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.42 pagi dan seramai 15 anggota dari Balai Bomba Raub dan Sungai Koyan diarahkan ke lokasi kejadian sejauh kira-kira 38 kilometer.

"Bomba mendapati sebuah rumah jenis sementara berkeluasan 3,520 kaki persegi dan sebuah rumah kekal 3,200 kaki persegi yang terletak bersebelahan antara satu sama lain sedang marak terbakar.

"Dalam kejadian itu, Abd Shukur dilaporkan meninggal dunia apabila terjatuh di bahagian belakang rumah ketika cuba menyelamatkan diri sementara adiknya Abdul Hadi Abdullah Suhaimin, 39, melecur pada bahagian tangan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata anggota bomba dan pegawai perubatan sudah berusaha memberikan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) bagi menyelamatkan Abd Shukur tetapi gagal sementara adiknya yang melecur dirawat anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

"Bomba berjaya mengawal kebakaran itu pada pukul 2.51 pagi sebelum dipadamkan sepenuhnya.

"Anggaran kemusnahan akibat kebakaran itu ialah 100 peratus bagi rumah sementara manakala hanya 20 peratus bagi rumah kekal," katanya.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619