AGENDA

Setinggan Kampung Pandan terbakar, penduduk lari ke jalan utama

13 Mac 2024, 12:30 AM
Setinggan Kampung Pandan terbakar, penduduk lari ke jalan utama

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Mangsa insiden kebakaran yang memusnahkan sekurang-kurangnya lima rumah di Kampung India Settlement, Kampung Pandan di sini pada 9.45 malam tadi terpaksa berlari ke jalan utama untuk menyelamatkan diri.

S Thulasi berkata dia menyedari rumahnya terbakar setelah melihat api dari arah dapur dan terus memaklumkan insiden itu kepada ahli keluarga yang lain.

“Ketika kejadian, terdapat tujuh ahli keluarga dalam rumah dan kami tidak sempat untuk menyelamatkan apa-apa barang. Saya hanya fikir untuk selamatkan diri.

“Kad pengenalan, baju, dokumen penting lain turut musnah dijilat api. Kini saya dan keluarga hanya tinggal sehelai sepinggang,” katanya kepada Bernama di lokasi kejadian.

Tinjauan Bernama mendapati lebih 10 rumah lain turut terjejas dalam insiden kebakaran itu dan empat jentera bomba serta tiga lori tangki terlibat dalam operasi pemadaman api.

Saksi kejadian, A Annuradah berkata dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya yang terletak di kawasan berhampiran ketika melihat api sedang marak.

“Saya berhenti untuk melihat kawasan kebakaran itu. Api cepat merebak kerana kedudukan rumah di situ yang rapat,” katanya.

K Saravanakumar pula berkata dia melihat ramai mangsa berlari menyelamatkan diri namun dan ada beberapa penduduk yang hanya sempat menyelamatkan barangan rumah seperti periuk, kipas angin serta pinggan mangkuk.

Bernama sedang berusaha mendapatkan kenyataan rasmi daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619