AGENDA

Syarikat Australia minat kembang pelaburan sedia ada berjumlah RM24.5 bilion di Malaysia

5 Mac 2024, 2:04 PM
Syarikat Australia minat kembang pelaburan sedia ada berjumlah RM24.5 bilion di Malaysia

Daripada Leslean Arshad

MELBOURNE, 5 MAC: Syarikat-syarikat terkemuka Australia berminat untuk melabur dan mengembangkan pelaburan sedia ada berjumlah RM24.5 bilion di Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata hasrat tersebut telah dinyatakan dalam pertemuan beliau dengan lebih 20 syarikat Australia di Melbourne pada Selasa.

Perdana Menteri sedang mengadakan lawatan rasmi selama empat hari ke Australia yang memasuki hari kedua hari ini.

Beliau berkata antara syarikat Australia yang akan membawa potensi pelaburan tersebut ialah syarikat pengendali pusat data iaitu AirTrunk sebanyak RM11 bilion dan NextDC kira-kira RM3 bilion.

“Lynas pula berminat menambah pelaburan kira-kira RM1 bilion manakala syarikat lain yang juga akan membawa potensi pelaburan tersebut adalah Fortescue, Macquarie Group dan Arnott’s Group.

“Ini satu kemajuan yang membanggakan serta menunjukkan minat Australia dan keyakinan mereka terhadap dasar yang telah kita umumkan selama ini,” kata beliau pada sidang media bersama media Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata pelaburan tersebut akan memberi peluang kepada kira-kira 1,200 tenaga mahir di Malaysia.

Anwar berkata jumlah potensi pelaburan yang akan memasuki Malaysia juga melebihi jangkaan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Dari segi perdagangan, beliau berkata potensi jualan eksport Malaysia ke Australia bernilai lebih RM900 juta melibatkan produk seperti urea, kayu, makanan dan komponen elektrik yang dijangka diraih sempena lawatan tersebut.

Beliau berkata usaha kerajaan memberi penjelasan untuk menjawab sebarang kegusaran dan kemusykilan memberi keyakinan kepada pelabur dan ahli perniagaan Australia terhadap prospek Malaysia.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619