AGENDA

Kementerian tunggu laporan penuh pesilat SUKMA meninggal dunia

4 Mac 2024, 8:55 AM
Kementerian tunggu laporan penuh pesilat SUKMA meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 4 MAC: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang menunggu laporan penuh daripada Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) mengenai insiden menyebabkan Pesilat Terengganu Wan Muhammad Haikal Wan Hussin meninggal dunia, pada pertandingan prapemilihan Sukan Malaysia (SUKMA) di Sikamat, Negeri Sembilan, Sabtu lepas.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim berkata laporan daripada Pesaka itu penting untuk mengetahui sama ada penganjur patuh kepada tatacara operasi piawai pertandingan atau sebaliknya.

“Saya ucap takziah kepada keluarga atas kehilangan atlet tersebut. Kita perlu hormati perasaan keluarga dan usah menuduh sesiapa.

“Diharapkan agar sukan jadi ruang yang terus kita pelihara dan pastikan selamat dari sudut apa sekalipun,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Atlet Program Podium Fasa 1 di sini, hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Bibi Aishah Golbal Shah berkata dalam kejadian pada kira-kira 5 petang Sabtu, Wan Muhammad Haikal jatuh di atas gelanggang ketika pertandingan berlangsung di Dewan Komuniti Taman Coral Heights, Sikamat.

Atlet berusia 20 tahun itu kemudian dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia pada 1.20 pagi Ahad dan jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alor Selising, Jertih, Terengganu, kira-kira 10 malam semalam.

Susulan kejadian tersebut, Pesaka membatalkan semua kejohanan melibatkan atlet daripada 12 negeri itu bagi menghormati pemergian Allahyarham.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619