AGENDA

Lapan lelaki termasuk tujuh pesilat cedera ringan, MPV dinaiki langgar lori

5 Jun 2023, 6:33 AM
Lapan lelaki termasuk tujuh pesilat cedera ringan, MPV dinaiki langgar lori

ALOR GAJAH, 5 JUN: Lapan lelaki termasuk tujuh pesilat cedera ringan selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora dinaiki mereka berlanggar dengan sebuah lori di KM221 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata kejadian berlaku kira-kira 5.10 pagi ketika kesemua ahli Silat Olahraga Ledang Tangkak itu dalam perjalanan pulang dari pertandingan di Ara Damansara, Kuala Lumpur.

"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila Proton Exora berkenaan yang berada di lorong paling kiri telah melanggar belakang sebuah lori, namun lori itu tidak dapat dikenal pasti kerana telah meneruskan perjalanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata ketika kejadian semua penumpang yang berusia 16 hingga 21 tahun itu sedang tidur.

Katanya kesemua mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah dan kemalangan sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, Arshad berkata seorang pemandu lori membawa muatan air batu dan dua penumpang bas cedera ringan dalam kemalangan di KM220 arah selatan di lebuh raya sama, kira-kira 2.45 pagi tadi.

Beliau berkata kemalangan itu berlaku di lorong paling kiri apabila bas yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura itu cuba mengelak lori terbabit yang dipercayai sedang bertukar lorong dari laluan kecemasan ke laluan kiri.

"Bas itu terlanggar bahagian belakang sebelah kanan lori yang menyebabkan lori itu terbalik ke dalam longkang tepi lebuh raya,” katanya.

Menurut Arshad pemandu lori bersama dua penumpang bas dibawa ke Hospital Melaka manakala kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959. - BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619