AGENDA

Cadangan pinda akta anugerah elak salah guna gelaran Datuk, Dato'

1 Mac 2024, 11:00 AM
Cadangan pinda akta anugerah elak salah guna gelaran Datuk, Dato'

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Majlis Datuk Dato Malaysia (MDDM) telah mengemukakan cadangan pindaan untuk beberapa klausa dalam Akta Anugerah 2017 (Akta 787) kepada Peguam Negara (AG) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).

Presiden MDDM Datuk Awalan Abdul Aziz berkata hal itu bertujuan untuk mengukuhkan lagi keberkesanan penguatkuasaan akta berkenaan dalam membendung aktiviti penyalahgunaan anugerah dan darjah kebesaran.

Beliau berkata antara cadangan pindaan yang dikemukakan pihaknya bulan lepas termasuk dari segi kuasa polis untuk menahan dan membuka kertas siasatan terhadap individu yang menyalahgunakan anugerah dan darjah kebesaran diperbaiki, sebelum dibawa ke pihak AG untuk dituduh.

“Sekarang ini tidak jelas dalam akta itu bahawa polis boleh membuat penangkapan sekiranya berlaku kesalahan di bawah akta itu.

“Selain itu, aspek kedua yang ingin dilihat ialah berhubung penerimapakaian akta ini di peringkat negeri kerana tidak semua negeri mempunyai enakmen yang berkaitan dengan akta ini. Jadi dari segi penguatkuasaannya, kita mohon supaya beberapa klausa dalam akta itu dapat dipinda sedikit, untuk membolehkan penguatkuasaannya dapat dilaksanakan di peringkat negeri juga, untuk anugerah-anugerah yang dikurniakan di negeri-negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini.

Awalan berkata penyalahgunaan anugerah dan darjah kebesaran ialah isu serius kerana terlalu banyak laporan diterima daripada orang awam berhubung penipuan membabitkan individu yang menggunakan gelaran palsu.

Katanya, berdasarkan rekod MDDM, terdapat hampir 200 individu dikenal pasti terlibat dalam penipuan gelaran palsu, sekali gus menunjukkan kepentingan akta tersebut dipinda bagi menjaga nama baik pemegang-pemegang anugerah yang tulen, serta institusi yang mengurniakan gelaran berkenaan.

Pada masa sama, beliau berharap lawatannya ke Bernama hari ini dapat membantu MDDM dalam meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai penggunaan anugerah dan darjah kebesaran yang sah.

“Persepsi ramai orang adalah kalau seseorang itu mempunyai gelaran Datuk, Datuk Seri, dia ialah orang mempunyai kredibiliti, padahal tidak semua mereka memiliki gelaran yang sah.

“Ini yang kita nak orang ramai tahu dan kalau boleh, mana-mana agensi termasuk Bernama juga hendaklah menyemak dan memastikan kesahihan sesuatu gelaran terlebih dahulu, sebelum menulisnya dalam berita,” katanya.

Terdahulu, Awalan bersama timbalannya Datuk Mohammad Ashfar Mohamad Ali, Setiausaha Agung Datuk Samson David Maman dan ahli-ahli MDDM lain dibawa melawat Bernama Radio, Bernama TV dan Meja Digital Media untuk melihat secara lebih dekat pengoperasian bahagian di agensi itu.

Beliau juga diberikan taklimat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin mengenai sejarah penubuhan dan peranan Bernama sebagai agensi berita selain berbincang dengan Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai dan pengurusan tertinggi mengenai bentuk kerjasama yang boleh dilaksanakan antara kedua-dua pihak.

Turut hadir Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619