ADN

Negeri diseru bangun sistem kenal pasti penjawat awam tidak produktif

29 Feb 2024, 2:00 AM
Negeri diseru bangun sistem kenal pasti penjawat awam tidak produktif

SHAH ALAM, 29 FEB: Kerajaan Negeri disaran membangunkan sistem kerja bukan hanya berkaitan prestasi kerja baik tetapi dapat kenal pasti sikap yang tidak produktif.

Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri berkata pelaksanaan sistem berkenaan membolehkan permasalahan itu ditangani dengan tindakan bersesuaian.

"Sikap lalai dan malas dalam kalangan segelintir penjawat awam adalah racun yang boleh merosakkan sistem pentadbiran Kerajaan Negeri.

"Bagi mengatasinya, Kerajaan Negeri dicadangkan supaya membangunkan sistem kerja yang tidak hanya menghargai prestasi kerja yang baik tetapi juga dapat mengenalpasti sikap kerja yang tidak produktif.

"Penerapan sistem penilaian kerja yang adil, prestasi yang baik diperakui dan diberikan penghargaan sementara prestasi yang tidak baik ditangani dengan tindakan yang bersesuaian," katanya.

Beliau berucap ketika membahaskan titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada sidang Dewan Negeri Selangor semalam.

Tambah Azmizam, sistem tersebut bukan hanya meningkat mutu pentadbiran tetapi juga mengenai pembaharuan budaya kerja dalam pentadbiran awam.

Semalam, Sultan Sharafuddin menasihati penjawat awam negeri ini untuk membuat anjakan paradigma dalam setiap tugasan dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Bertitah dalam Pembukaan Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15, Baginda bertitah kerenah birokrasi dan peraturan menyusahkan dalam urusan kerajaan perlu dikurangkan bagi mempercepat urusan perkhidmatan kepada rakyat.

Baginda juga mengingatkan penjawat awam supaya tidak terus mengamalkan sikap lalai dan malas sehingga menyebabkan banyak projek pembangunan tergendala atau berdepan masalah.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619