BERITA UTAMA

Negeri tubuh jawatankuasa khas tangani kemarau tahun depan

26 Feb 2024, 2:00 PM
Negeri tubuh jawatankuasa khas tangani kemarau tahun depan

KUALA SELANGOR, 26 FEB: Kerajaan Negeri menubuhkan satu jawatankuasa khas diketuai Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bagi menangani fenomena El Nino yang diramal lebih teruk menjelang tahun depan.

EXCO infrastruktur berkata jawatankuasa itu ditubuh selepas satu mesyuarat dijalankan bersama Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (Nahrim) Jumaat lalu.

Jelas Ir Izham Hashim, badan penyelidik itu memaklumkan kemungkinan seluruh negara berdepan musim kemarau yang teruk pada 2025 dan 2026.

"Oleh itu, kita wujudkan 'task force' yang diketuai LUAS untuk memastikan bekalan air diuruskan dengan baik, bukan sahaja untuk minum tetapi keperluan pertanian selain mengelakkan catuan.

"Selain itu, sepanjang tahun ini, air di empangan masih mencukupi untuk mendepani musim kemarau dalam tempoh sembilan bulan berikutan berada di paras 85 peratus ke atas," katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) di Muka Sauk (LRA) Rantau Panjang, Kuala Selangor di sini hari ini.

Tambah Izham, agensi lain yang turut berada dalam jawatankuasa itu ialah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Muhammad Helmi Abdullah memaklumkan fenomena El Nino dengan intensiti kuat yang sedang melanda dunia ketika ini dijangka berterusan hingga pertengahan tahun ini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619