AGENDA

Empat warga asing ditahan dipercayai terlibat sindiket pemalsuan dokumen

15 Feb 2024, 10:30 AM
Empat warga asing ditahan dipercayai terlibat sindiket pemalsuan dokumen

PUTRAJAYA, 15 FEB: Jabatan Imigresen Malaysia menahan empat lelaki warga asing dipercayai terlibat dengan sindiket pemalsuan dokumen dalam operasi khas di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dan Pasukan Taktikal Khas (PASTAK), susulan aduan dan risikan selama dua minggu.

Beliau berkata yang ditahan dalam operasi bermula pukul 2 petang itu terdiri daripada dua anggota sindiket yang merupakan lelaki warga Bangladesh kedua-duanya berumur 28 tahun, dan dua dalang utama sindiket itu yang terdiri daripada seorang lelaki warga Bangladesh berumur 31 tahun dan seorang warga India berumur 28 tahun.

“Kesemua yang ditahan tidak memiliki pas yang sah untuk berada di negara ini,” katanya.

Ruslin berkata turut dirampas dalam serbuan itu empat pasport India dan satu pasport Pakistan milik orang lain, masing-masing satu pasport India dan Pakistan disyaki palsu, pasport Bangladesh, serta 26 keping Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) juga disyaki palsu.

Selain itu turut dirampas dua keping kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) juga disyaki palsu, dua komputer riba dan sebuah pencetak.

“Modus operandi sindiket adalah dengan menyasarkan warganegara dari negara sumber seperti Bangladesh, India dan Pakistan yang mempunyai masalah di Malaysia seperti tiada dokumen pengenalan diri dan visa.

“Suspek akan mencari dan menghampiri mereka yang bermasalah ini dan kemudiannya menawarkan perkhidmatan yang disediakan seperti penyediaan pasport palsu, PLKS palsu dan kad CIDB palsu,” katanya.

Ruslin berkata sindiket itu dipercayai telah beroperasi selama setahun dan mengenakan bayaran sekitar RM1,000 bagi setiap pasport dan RM500 bagi setiap PLKS dan kad CIDB.

Kesemua individu berkenaan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619