ad
AGENDA

Suami isteri maut motosikal langgar kenderaan berhenti lorong kecemasan

12 Feb 2024, 3:00 PM
Suami isteri maut motosikal langgar kenderaan berhenti lorong kecemasan

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Sepasang suami isteri maut selepas motosikal yang ditunggang mereka merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda yang rosak di lorong kecemasan di Kilometer 415.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Lembah Beringin ke Bukit Tagar, Hulu Selangor, hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt Ahmad Faizal Tahrim berkata dalam kejadian jam 11.05 pagi itu, mangsa berusia 36 dan 38 tahun maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pasangan yang menunggang motosikal Yamaha NMAX itu dalam perjalanan pulang ke ibu negara selepas bercuti di kampung mereka di Kamunting, Perak.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan Mitsubishi Trition yang dipandu seorang wanita berusia 36 tahun kerana tidak menyedari kenderaan itu berhenti di lorong kecemasan kerana mengalami kerosakan.

“Akibat rempuhan itu, kedua-dua mangsa terpelanting di sebelah kanan jalan dan terkena pada Toyota Vios yang dipandu seorang lelaki berusia 65 tahun yang sedang melalui jalan tereebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, berkata proses bedah siasat akan dijalankan di Hospital Kuala Kubu Bharu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.