Penunggang motosikal maut rempuh polis trafik di lorong kecemasan

24 Feb 2026, 1:06 AM
Penunggang motosikal maut rempuh polis trafik di lorong kecemasan

TANGKAK, 24 FEB: Seorang penunggang motosikal maut selepas merempuh seorang polis trafik yang sedang melakukan pemeriksaan di lorong kecemasan di Kilometer 170.1 Lebuh Raya Utara–Selatan (arah Utara) di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tangkak Superintendan Roslan Mohd Talib berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian melibatkan pegawai polis daripada bahagian siasatan dan penguatkuasaan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak, kira-kira 2.07 petang.

Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku apabila lelaki berusia 38 tahun yang menunggang motosikal jenis Suzuki DL650XA berwarna biru terlanggar pegawai polis yang menjalankan pemeriksaan di lorong kecemasan lebuh raya berkenaan.

"Akibat kejadian, kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Jasin. namun mangsa disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan, manakala pegawai berkenaan mengalami kecederaan pada bahagian kaki, tangan dan kepala serta telah dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Roslan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan memberikan amaran kepada orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian.

"Mereka yang mempunyai maklumat tentang kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Mohd Azmil Azwa Amir Azwa menerusi talian 019-3058346 untuk membantu siasatan," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619