AGENDA

Mangsa sangka bau mercun, rupanya rumah jiran terbakar

12 Feb 2024, 12:44 AM
Mangsa sangka bau mercun, rupanya rumah jiran terbakar

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Seorang mangsa kebakaran Blok 70, Flat Sri Sabah, Cheras, tidak menyangka bau asap semasa sedang berehat di rumahnya di tingkat 17, rupanya datang daripada rumah jiran yang sedang terbakar.

Loo Choon Ming, 39, yang menetap di rumah itu sejak kecil berkata ketika kejadian dia berada di ruang tamu sedang menonton televisyen bersama ibunya berumur 62 tahun selepas meraikan sambutan Tahun Baharu Cina bersama rakan dan saudara-mara.

“Saya sedang menonton televisyen apabila tiba-tiba terhidu bau asap. Pada mulanya saya tidak mengendahkannya kerana menyangkakan bau asap bunga api.

“Namun, apabila bau itu kuat menyebabkan saya terdetik hati untuk menjenguk keluar dan terkejut apabila mendapati rumah jiran sedang terbakar,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Melihat keadaan itu, dia bersama rakannya berusaha untuk memadamkan kebakaran hampir 20 minit, namun tidak berjaya menyebabkannya bergegas masuk ke dalam rumah untuk menyelamatkan ibunya yang sudah tua, tanpa sempat mengambil barangan lain.

Paling dikesalkan apabila pili bomba yang disediakan di setiap aras flat berkenaan tidak berfungsi menyebabkan kebakaran merebak dengan cepat.

Sementara itu, seorang lagi saksi kejadian Rohani Hamzah, 60 mendakwa dia melihat cahaya terang pada bahagian dapur unit tengah diikuti bunyi letupan kemudiannya merebak ke rumah di kiri dan kanan tingkat sama.

Dia yang menetap di blok berkenaan sejak 2012 itu berkata ia kemudian diikuti dengan lebih banyak bunyi letupan dipercayai daripada tong gas.

S. Vijayaletchumi, 34, berkata dia mula menyedari berlaku kebakaran bermula dari sebuah unit sebelum merebak ke unit lain pada 8.45 malam.

Katanya, bomba mula tiba ke lokasi 10 minit selepas kejadian disedari namun tidak dapat memasuki blok berkenaan akibat terhalang dengan kenderaan yang diletakkan di bahu jalan.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619