AGENDA

Masalah pendawaian elektrik punca kebakaran Flat Sri Sabah

13 Feb 2024, 3:14 AM
Masalah pendawaian elektrik punca kebakaran Flat Sri Sabah

KUALA LUMPUR, 13 FEB: Kebakaran di Tingkat 17, Blok 70, Flat Sri Sabah, Cheras pada malam Ahad lepas, dipercayai berpunca daripada masalah pendawaian elektrik, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Muhammad Salleh Abdul.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati kebakaran bermula di unit nombor tiga selain turut menafikan dakwaan bahawa ia berpunca daripada bunga api.

"Siasatan forensik kita mengesahkan kebakaran tersebut dipercayai disebabkan punca elektrik dan ia tertumpu kepada kotak agihan (DB). Kita percaya 90 peratus ia adalah punca kebakaran dan 10 peratus lagi kita sedang mengesahkan dari segi ujian teknikal bahawa itu adalah punca utama.

"Makna ia bermula di situ dan merebak ke unit-unit lain...ia merebak ke unit kedua dan keenam,” katanya pada sidang media di pusat penempatan sementara Sekolah Kebangsaan Sri Cheras di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, lima unit kediaman di Tingkat 17, Blok 70, flat berkenaan musnah dalam kebakaran dengan tiada kematian dilaporkan.

Beliau juga berkata dakwaan bahawa pili bomba tidak boleh digunakan adalah tidak benar, sebaliknya menjelaskan bahawa alat bantu mula atau hose reel di bangunan berkenaan yang tidak berfungsi.

Susulan itu, Muhammad Salleh berkata pihaknya akan menubuhkan pasukan petugas khas bagi tujuan pemeriksaan menyeluruh di flat-flat kelolaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai tindakan segera bagi mengelakkan isu berkenaan berulang.

"Kita akan buat segera. Kita akan buat siasatan dan cadangan yang perlu untuk pertingkat dan baiki sistem-sistem yang ada di bangunan seperti ini," katanya.

Beliau berkata jumlah kerugian masih dalam peringkat siasatan dan akan dimaklumkan kelak.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619