AGENDA

Menteri: Tol percuma dua hari pastikan rakyat rancang perjalanan sebaiknya

7 Feb 2024, 11:55 PM
Menteri: Tol percuma dua hari pastikan rakyat rancang perjalanan sebaiknya

SEPANG, 8 FEB: Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pengecualian bayaran tol selama dua hari bermula hari ini dan Jumaat, 9 Februari sempena sambutan Tahun Baharu Cina adalah untuk memastikan rakyat merancang perjalanan balik ke kampung halaman masing-masing dengan sebaiknya.

Beliau berkata cadangan asal adalah pada 9 Februari dan 10 Februari namun diawalkan memandangkan tidak ramai yang balik pada malam Tahun Baharu Cina.

“Tol percuma itu melalui Jemaah Menteri memang dibincang dan Kementerian Pengangkutan mencadangkan kepada Kementerian Kerja Raya supaya mengadakan inisiatif tol percuma dua hari sebelum hari perayaan.

"Cadangan asal ialah 9 dan 10 Februari tetapi kita tahu hari pertama Tahun Baharu Cina tidak ramai yang balik kerana kebanyakan balik sebelum itu," katanya kepada media selepas pelepasan penumpang AirAsia bagi penerbangan lewat malam istimewa dengan tambang tetap berpatutan sempena musim perayaan dari Kuala Lumpur ke Sibu, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, malam tadi.

Turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Operasi Penerbangan) AirAsia Aviation Group, Datuk Kapten Chester Voo.

Loke berkata keadaan lalu lintas dijangka sesak bermula hari ini dan meminta orang ramai supaya merancang perjalanan agar dapat mengelakkan kesesakan lalu lintas serta pengguna jalan raya dinasihati berhati-hati dan berehat di tempat yang selamat jika penat.

Mengenai penerbangan lewat malam AirAsia dengan tambang tetap, beliau berkata kerajaan menghargai komitmen AirAsia kerana sentiasa menawarkan tambang lebih nilai kepada para pelanggan mereka dengan tambang tetap berpatutan sempena musim perayaan termasuk penerbangan lewat malam ke Sabah dan Sarawak.

Loke berkata inisiatif itu memberi manfaat kepada 22,000 penumpang dan memberi ruang kepada anak Sabah dan Sarawak kembali ke kampung halaman untuk sambutan Tahun Baharu Cina.

Selain itu, beliau berkata kerajaan juga menghargai sumbangan dan pengorbanan pekerja sektor penerbangan termasuk operator lapangan terbang, pegawai kawalan trafik udara dan pengendalian darat yang memainkan peranan penting memastikan inisiatif penerbangan lewat malam berjalan dengan lancar.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619