AGENDA

Tahun Baharu Cina: Kenderaan berat dilarang guna jalan raya empat hari

6 Feb 2024, 12:15 PM
Tahun Baharu Cina: Kenderaan berat dilarang guna jalan raya empat hari

KAJANG, 6 FEB: Kenderaan berat dilarang menggunakan jalan raya selama empat hari bermula 8, 9, 12 dan 13 Feb sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan cuti persekolahan.

Pengarah Kanan Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Lokman Jamaan berkata larangan ini bertujuan bagi memastikan kelancaran trafik bagi mereka yang hendak pulang ke kampung atau bercuti.

“Tindakan tegas akan dikenakan bagi mana-mana syarikat atau individu yang tidak mematuhi larangan berkenaan,” katanya dalam sidang media selepas melakukan pemeriksaan bas di Depoh Transnasional Ekspress di sini hari ini.

Mengenai pemeriksaan hari ini, Lokman berkata JPJ telah melakukan pemeriksaan terhadap 361 buah bas ekspres di 54 depoh di seluruh negara sejak Sabtu lepas.

Beliau berkata dalam pemeriksaan itu, sebanyak 12 bas ekspres telah diambil tindakan dan 10 lagi dikenakan Notis Larangan Penggunaan Kenderaan (PG1) kerana melanggar peraturan teknikal yang ditetapkan.

Lokman berkata selain pemeriksaan teknikal dan layak untuk dipandu di jalan raya yang melibatkan sistem brek, tayar, lampu, dokumen kenderaan dan pemandu, turut dijalankan pemeriksaan terhadap status saman pemandu dan syarikat bas.

"Pemeriksaan ini dijalankan secara berterusan sepanjang musim cuti persekolahan ini," katanya.

Beliau berkata JPJ memandang serius dan tidak berkompromi dengan pihak syarikat, pemilik dan pemandu bas ekspres yang melanggar undang-undang dan peraturan ditetapkan.

"Penguatkuasaan dan tindakan tegas akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan ekosistem pembudayaan keselamatan jalan raya yang lebih selamat kepada semua pengguna," katanya.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619