AGENDA

Tahun Baharu Cina: Kenderaan barangan dilarang berada di jalan raya selama empat hari

18 Jan 2025, 9:15 AM
Tahun Baharu Cina: Kenderaan barangan dilarang berada di jalan raya selama empat hari

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Kenderaan barangan dilarang berada di atas jalan raya selama empat hari sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) ini.

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan memaklumkan larangan itu akan dikuatkuasakan pada 27 dan 28 Jan (sebelum perayaan) serta pada 1 dan 2 Feb (selepas perayaan), mengambil kira peningkatan trafik ketara khususnya bagi kenderaan persendirian yang akan bergerak pulang ke kampung halaman.

MOT berkata tujuan utama larangan itu adalah bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas serta mengurangkan risiko nahas jalan raya akibat percampuran trafik antara kenderaan barangan dengan kenderaan persendirian.

“Selain itu, Perintah Penurunan Had Laju Kebangsaan juga akan dikuatkuasakan bersama-sama larangan pemanduan ini bermula 28 Jan hingga 2 Feb depan sepanjang pelaksanaan Op Selamat PDRM," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyatakan bagi memastikan pematuhan terhadap perintah larangan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan di seluruh negara menerusi pelaksanaan Op Tahun Baru Cina (TBC) 2025 dan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain.

MOT turut menasihatkan semua pemandu supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya serta memastikan aspek keselamatan menjadi keutamaan semasa memandu.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619