AGENDA

Denggi catat 3,781 kes dengan tujuh kematian, Selangor rekod 124 lokasi tumpuan

5 Feb 2024, 2:59 PM
Denggi catat 3,781 kes dengan tujuh kematian, Selangor rekod 124 lokasi tumpuan

PUTRAJAYA, 5 FEB: Jumlah kes demam denggi menurun kepada 3,781 kes pada Minggu Epidemiologi ke-04 (ME04) 2024 iaitu bagi tempoh 21 hingga 27 Januari lalu berbanding 3,971 kes pada minggu sebelumnya, dengan tujuh kematian akibat komplikasi demam denggi.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga ME04 ialah 14,458 kes berbanding 8,968 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata terdapat sembilan kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan berbanding empat kematian bagi tempoh sama pada 2023.

"Bilangan lokaliti 'hotspot' yang dilaporkan pada ME04 adalah 148 lokaliti berbanding 127 pada minggu sebelumnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr Muhammad Radzi, daripada 148 lokaliti itu, 124 ialah di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya (14), Negeri Sembilan (lima), Perak (tiga) manakala masing-masing satu lokaliti di Pulau Pinang dan Sabah.

Dr Muhammad Radzi berkata bagi survelan chikungunya, tiada kes direkodkan pada ME04 dan jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah dua kes manakala bagi survelan zika, 149 sampel darah telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.

Beliau menyeru komuniti setempat supaya menyahut seruan Program 'One Hour Malaysia Clean Up' yang dilaksanakan setiap Sabtu minggu keempat setiap bulan sebagai usaha membanteras tempat pembiakan nyamuk Aedes dan melibatkan diri dalam aktiviti Kutip Sampah Sambil Beriadah (KUDAH) bersama ahli keluarga.

Aktiviti seumpama itu, katanya dapat menyihatkan badan dan menyegarkan minda serta secara tidak langsung mendorong orang ramai melaksanakan tanggungjawab bagi memastikan alam sekitar terus terpelihara, bersih dan bebas daripada tempat pembiakan Aedes.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619