AGENDA

Polis cedera dilanggar lari ketika ronda cegah jenayah

5 Feb 2024, 1:30 AM
Polis cedera dilanggar lari ketika ronda cegah jenayah

IPOH, 4 FEB: Seorang anggota polis yang sedang menjalankan tugas rondaan, cedera setelah dilanggar lari sebuah kenderaan dalam kejadian di Jalan Tanjung Rambutan-Chemor, jam 7.30 malam tadi.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata anggota polis berusia 34 tahun itu, bersama seorang lagi anggota yang sedang membuat rondaan cegah jenayah dengan menaiki motosikal, telah menghampiri sebuah kereta jenis Proton Iriz biru dalam keadaan mencurigakan di jalan tersebut.

"Pemandu kereta (suspek) telah bertindak mengundurkan kenderaan dan terus melanggar motosikal mangsa, yang menyebabkan mangsa jatuh.

"Setelah melanggar mangsa, suspek menggerakkan kereta ke hadapan dan mengundur sekali lagi sehingga melanggar mangsa kali kedua dan memecut kereta meninggalkan tempat kejadian menghala ke Tanah Hitam," katanya dalam kenyataan malam ini.

Mohd Yusri berkata akibat pelanggaran itu, mangsa telah mengalami kecederaan dan tidak dapat bergerak dan pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami patah tulang rusuk dan tulang bahu.

Beliau berkata kejadian itu disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Mohd Yusri berkata pihaknya sedang giat mengesan pemandu kereta tersebut dan orang ramai yang mempunyai maklumat, boleh menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah Ibu Pejabat Polis Ipoh ASP Norazuna Rais Ahmad, di talian 013-628 2176 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619