AGENDA

APM perkenal program didik penduduk bandar sedia hadapi bencana

21 Jan 2024, 8:30 AM
APM perkenal program didik penduduk bandar sedia hadapi bencana

GOMBAK, 21 JAN: Program Komuniti Siaga 221 yang diperkenalkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bertujuan memberi pendedahan dan pengetahuan latihan kecemasan kepada penduduk di kawasan bandar yang berisiko menghadapi bencana dan terdedah kepada ancaman keselamatan setempat.

Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Aminurrahim Mohamed berkata program berkenaan sebagai persediaan awal kepada masyarakat di kawasan bandar sebelum mereka menerima bantuan daripada agensi keselamatan berhampiran.

Beliau berkata kawasan Rawang menjadi lokasi percubaan selama dua minggu bagi melihat keberkesanan program itu, selain mengenal pasti latihan kecemasan yang bersesuaian diberikan kepada penduduk di kawasan bandar.

"Kita jadikan Rawang sebagai lokasi uji cuba kerana banyak kes kecemasan seperti kemalangan berlaku di kawasan ini dan sering mengalami kesesakan lalu lintas.

"Walaupun di bandar dan berhampiran dengan agensi keselamatan, kita faham beberapa kes kecemasan tidak boleh ditangguhkan seperti kes serangan jantung. Jadi kita mengajar penduduk seperti teknik bantuan asas hayat resusitasi kardiopulmonari (CPR) dan cara mengendalikan ular.

"Kita harap melalui latihan ini bukan sahaja dapat membantu individu itu sendiri, tetapi juga keluarga mereka apabila berdepan dengan situasi kecemasan," katanya pada sidang media selepas Majlis Penutup Latihan Pengurusan Awal Bencana dan Keselamatan Komuniti Siaga 221 di Taman Bayu Permai di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Rawang Chua Wei Kiat.

Aminurrahim berkata konsep program Komuniti Siaga 221 akan dikemukakan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam masa terdekat supaya dapat dilaksanakan di seluruh negara.

"Kita sudah bentangkan perancangan program ini kepada Timbalan Perdana Menteri dan kali ini kita akan berikan (laporan) keberkesanan program ini untuk diperluas ke seluruh negara," katanya.

Beliau berkata program itu merupakan kesinambungan daripada program Kampung Siaga 221 yang dilancarkan pada akhir 2022.

Program Kampung Siaga 221 yang melibatkan 29 kampung di seluruh negara dengan penglibatan 10,771 orang bertujuan meningkatkan kesiapsiagaan serta persediaan awal penduduk di kawasan pedalaman bagi menghadapi sebarang bencana.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619