AGENDA

SPRM tahan dua bekas penguat kuasa PBT disyaki minta rasuah RM18,000

16 Jan 2024, 2:40 AM
SPRM tahan dua bekas penguat kuasa PBT disyaki minta rasuah RM18,000

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua bekas anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM18,000.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berumur lingkungan 30-an itu yang menyamar sebagai pegawai daripada Unit Risikan Bukit Aman meminta balasan untuk tidak mengambil tindakan bagi kes pengubahan wang haram terhadap mangsa.

Sumber itu berkata suspek pertama ditahan kira-kira 5.10 petang semalam di sekitar ibu negara, manakala suspek kedua ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur pada 8.57 malam tadi.

“Suspek ke pejabat mangsa di sekitar Kuala Lumpur dan memberitahu kononnya terdapat satu kes SPRM dibuka terhadap mangsa membabitkan kesalahan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram.

“Sehari selepas itu, suspek datang semula ke pejabat mangsa dan meminta wang rasuah kira-kira RM18,000 sebagai balasan menutup siasatan kes berkenaan," kata sumber itu.

Menurutnya lagi, mangsa yang ketakutan telah menyerahkan wang tunai sebanyak RM10,000 kepada suspek dan memaklumkan akan menyerahkan baki RM8,000 pada Isnin (15 Jan) sebelum membuat laporan kepada SPRM Ahad lepas.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009, manakala kedua-dua suspek akan direman di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619